KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap penerbit, pelakon dan semua yang terlibat dalam pembikinan filem pendek Mentega Terbang.
Video yang tular di media sosial baru-baru ini jelas mencabar umat Islam dan membangkitkan kemarahan umat Islam khususnya di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu bertindak dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain.
"Hentikan amalan berselindung disebalik 'tiada kuasa', maruah agama Islam semakin diinjak-injak di Malaysia, perbuatan ini sangat melampau," katanya tegas.
Tambah beliau pembikinan dan edaran filem itu adalah satu provokasi terhadap umat Islam di negara ini.
"Jangan sampai kami bertindak sendiri, baru pihak berkuasa nak ambil tindakan. Tetapi bukan terhadap pelaku kerana kami yang 'bertindak' dahulu bukan penguatkuasa," katanya.
Menurut Nadzim semua pihak harus ambik tindakan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang mana Menterinya juga seorang Islam.
"JAKIM bangun dari tidur!!! NGO- NGO Islam akan membuat laporan polis, bantu polis jejak pelaku. Kami sanggup tawarkan habuan sehingga tertangkap semua yang terlibat," katanya.
Kesan perbuatan (penyebaran video) ini amat besar kerana menurut Nadzim jelas sekali ia memesongkan akidah, mengelirukan umat Islam terutama anak muda.
"Video itu secara terang mengajak agama lain memperkecilkan Islam dan mencetus kemarahan umat Islam sehingga menyebabkan keresahan dan mungkin pergaduhan antara kaum," katanya.
Adakah pihak penerbit dan pengarah sudah terlalu ketandusan idea menerbitkan filem sehingga mencabar umat Islam di negara ini?
Nadzim turut menyeru semua pihak termasuk Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri membantu usaha menjejaki pihak biadab ini.
Selain itu, Nadzim menyeru Menteri Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman untuk mempertimbangkan hukuman lebih berat dan tegas terhadap mereka yang menghina agama lain khususnya agama Islam.
"Batalkan sahaja kerakyatan mereka jika mereka tidak suka dengan hakikat Malaysia adalah negara Islam, itu perlembagaan negara kita! " tegas Nadzim.