27 Jan
27Jan

KUALA LUMPUR: Universiti Birmingham menempatkan dua lembaran naskah al-Quran terawal berusia 1,378 yang ditemui pada 2015 bertarikh antara tahun 568M dan tahun 645M, menjadikannya antara naskhah al-Quran tertua setakat ini.

Hasil ujian analisis radiokarbon yang dilakukan di Universiti Oxford mencadangkan manuskrip berkenaan ditulis kurang 20 tahun selepas Nabi Muhammad SAW wafat.

Penemuan berharga ini memberi makna yang besar dalam sejarah Ketamadunan Islam di dunia kerana ia manuskrip asli yang diyakini tidak diubah.

Ia dikatakan wujud tidak lama selepas diwahyukan kepada Nabi Muhammad antara 610 hingga 632 Masihi, di mana dipercayai penulisnya masih hidup era berkenaan.

Begitulah kebesaran Tuhan yang memelihara naskah asli berkenaan agar generasi baharu mengkaji sejarahnya, asal kejadian dan hikmah daripadanya, namun ia mustahil berlaku jika naskah itu tidak dipelihara atau dibakar.

Malaysia baru-baru ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom, Sweden.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau dikenali Toqqi turut menyeru rakyat agar memboikot produk dari Sweden sebagai satu isyarat kepada negara itu bahawa tindakan mereka adalah satu jenayah yang tidak boleh dikompromi.

“Kembalikan keadilan untuk Islam, perlu protes dan bangkit boikot produk Sweden seperti IKEA, tak makan meat ball pun tak mati.

“Perbuatan (bakar al-Quran) telah merosakkan hubungan, jadi kita harus sokong kebaikan dan menentang amalan budaya yang tidak baik.

“Kita tidak nampak orang Malaysia bakar kitab mana-mana agama pun, tak semestinya kita bercerita pasal al-Quran.

“Kita bercerita mengenai membudayakan sesuatu yang elok tetapi perbuatan berkenaan adalah keji, hina dan tidak boleh diterima,” katanya selepas sidang media.

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Pertandingan Cabaran Bukit Uhud bagi merebut Piala PPIM di Pusat Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah, Bukit Beruntung, yang dijadualkan pada 28 Januari ini.

Turut hadir wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan, Mejar Bersekutu (PA) Zamri Mohd Zaman Khan serta barisan pemanah tradisional TAAM.

Tambahnya lagi, Duta Sweden di Malaysia dan Duta Malaysia di Sweden perlu bersama menjelaskan kepada kedutaan masing-masing untuk mengambil tindakan yang wajar.

“Jika tidak dihentikan, perbuatan ini akan diulang tayang oleh generasi lain pula, jadi isu keadilan tidak akan dapat sampai bila-bila,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

ISU BAKAR AL-QURAN: KEMBALIKAN KEADILAN ISLAM, BOIKOT IKEA - PPIM

https://mediavariasi.com/2023/01/isu-bakar-al-quran-kembalikan-keadilan-islam-boikot-ikea-ppim/ 

Comments
* The email will not be published on the website.