28 Feb
28Feb

KUALA LUMPUR – “Bekas suami tidak bekerja, memaksa saya mengambil pinjaman peribadi, kad kredit dan juga ah long hingga saya disenaraikan sebagai bankrap dengan hutang RM119,000”.

Demikian luahan seorang wanita berusia 53 tahun ketika ditemui selepas sidang akhbar Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) isu insolvensi di Villa Puteri kondominium, di sini, hari ini.

Katanya, dia dan bekas suami terpaksa mengambil pelbagai jenis hutang kira-kira 14 tahun lalu berikutan lelaki tersebut tidak bekerja ketika itu.

“Disebabkan hutang terlalu banyak, ia mula menjadi satu masalah. Pada 2009 gaji saya tidak boleh dikeluarkan dan saya tak dapat makluman daripada mana-mana pihak tentang bankrap ini.

“Selepas disahkan bankrap, hidup saya mula terumbang-ambing. Saya bercerai dengan bekas suami, dibuang kerja dan perlu membesarkan dua anak masih kecil. Semuanya berlaku dalam masa setahun,” katanya.

Wanita itu berkata, dia terpaksa pulang ke kampung dan mula sedar bahawa lebih ramai ibu tunggal bankrap disebabkan membantu suami mereka.

“Akaun bank dibekukan, majikan juga tidak mahu ambil pekerja yang sudah bankrap, semua ini saya perlu tanggung sambil besarkan dua anak.

“Saya harap, kerajaan perhalusi lagi tindakan undang-undang buat mereka yang sudah lebih 10 tahun yang sudah diklasifikasikan sebagai bankrap. Bankrap ini satu beban buat kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, isu yang masih membelenggu rakyat adalah mereka yang tersenarai sebagai bankrap melebihi RM50,000. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

WANITA TANGGUNG HUTANG KAD KREDIT, AH LONG RM119,000 BEKAS SUAMI

https://www.kosmo.com.my/2023/02/28/wanita-tanggung-hutang-kad-kredit-ah-long-rm119000-bekas-suami/

Comments
* The email will not be published on the website.