Belum reda isu bendera China dikibarkan di Perak, timbul pula kes baharu lagi bendera asing dikibarkan kali ini di Johor pula.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa bertegas dalam isu kibar bendera negara asing di tempat awam yang tular baru-baru ini.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pihaknya amat kesal perkara itu boleh berlaku di negara ini dan meminta tindakan tegas pihak berkuasa menanganinya sebelum perkara ini di luar kawalan.
"PPIM sentiasa menghormati dan menyokong tugas pihak berkuasa namun, dalam isu ini (kibar bendera asing) kita tidak boleh berkompromi.
"Apa yang kami bimbang adalah tindakan di luar jangkaan oleh orang awam yang mungkin menyebabkan ketegangan dalam negara ini" tegasnya.
Pada 24 Oktober lalu, tular di media sosial satu perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mempamerkan bendera China di tempat awam menimbulkan rasa tidak senang dikalangan rakyat tempatan.
Perarakan berunsurkan keagamaan itu membabitkan kereta berhias telah berlangsung dari jam 8 malam hingga jam 11.30 malam 24 Oktober lepas dan disertai kira-kira 400 penonton.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata penganjur acara itu melanggar syarat permit yang diluluskan pada 2 Oktober lalu.
Azizi berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.
Terbaru, media melaporkan Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Johor turut disertai delegasi dari China, Vietnam, Thailand, Filipina, Hong Kong, Singapura dan Indonesia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee merupakan salah seorang peserta yang menghadiri perarakan tersebut.
PPIM berpendapat mereka sepatutnya turut disiasat dibawah akta hasutan kerana perbuatan penganjur dan peserta itu bukan sahaja menghina negara namun menghasut orang lain untuk melakukan perkara yang sama.
PPIM juga berharap agar Menteri dan Menteri Besar negeri-negeri terbabit mengeluarkan kenyataan-kenyataan bijak yang berdasarkan fakta dan akta dan bukan yang berbentuk bacul dalam kemelut yang berkaitan dengan kedaulatan Negara ini, tambah Toqqi lagi.
Sebelum ini, polis Perak turut mengesahkan telah membuka kertas siasatan perhimpunan kibar Jalur Gemilang yang disertai lebih 300 individu di Dataran Menara Condong Teluk Intan, kerana tiada notis dihantar penganjur bagi acara itu.
PPIM berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar kedaulatan Malaysia.