21 Sep
21Sep

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaaan mengamalkan ajaran sesat dan bersekongkol untuk melindungi ahli kumpulan Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan, terdapat banyak perkara yang tidak tepat ditularkan di media sosial dan cubaan mengaitkan PPIM dengan siasatan yang sedang berjalan.

“PPIM seperti mana banyak pihak lain sebelum ini bekerjasama dengan entiti perniagaan GISBH atas kapasiti menyokong usaha mereka meningkatkan jumlah produk halal buatan umat Islam untuk pengguna di Malaysia.

“Bagaimanapun, kerjasama ini bukanlah cerminan PPIM menyokong atau mengetahui mengenai dakwaan berkaitan isu dalam kumpulan itu yang kini sedang tular.

“PPIM fokus kepada mempertahankan hak pengguna dan memperjuangkan isu rakyat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, PPIM tidak pernah mengetahui mengenai apa-apa isu yang berlaku dalam GISBH sehinggalah perkara tersebut didedahkan baru-baru ini.

Ini termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, penggubahan wang haram dan lain-lain lagi.

“Sehubungan itu, kami meminta pihak lain jangan memburukkan lagi keadaan dan jangan cuba mengaitkan PPIM dengan isu yang tidak berkaitan.

“PPIM juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kerajaan atau bertentangan dengan ajaran islam,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM NAFI DAKWAAN BERSEKONGKOL DENGAN GISBH

https://malaysiagazette.com/2024/09/21/ppim-nafi-dakwaan-bersekongkol-dengan-gisbh/

Comments
* The email will not be published on the website.