SEPANG: Hari pertama prosiding bela diri oleh pengamal perubatan, Dr Roland Victor terhadap pertuduhan melakukan hantaran video bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain yang ditetapkan hari ini, ditunda selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasarudin yang mengetuai pendakwaan dijangkiti COVID-19.
Hakim Mahkamah Sesyen, Fuad Othman, membenarkan penangguhan terbabit selepas masalah kesihatan dialami Nurul Farahin dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah dan tidak dibantah peguam bela, Alicia Nicholson, yang mewakili Dr Roland, 42.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 dan 24 September depan sebagai tarikh baharu prosiding itu.
Dr Roland, 42, didakwa membuat penghantaran video bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain bertajuk 'VAKSIN RNA Siapa Nak Dulu' pada 7 Februari 2021, jam kira-kira 10.30 malam menerusi aplikasi Facebook milik The KL Sky Clinic.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama iaitu denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.
Dia juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Pada 21 Mac lalu, mahkamah memerintahkan Dr Roland membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan 'kes prima facie' terhadap tertuduh.
Artikel oleh: Berita Harian
PROSIDING BELA DIRI DR ROLAND VICTOR DITUNDA KERANA TIMBALAN PENDAKWA RAYA DIJANGKITI COVID-19