KUALA LUMPUR — Seorang peguam berpandangan adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan sekiranya pampasan diterima pemilik hartanah Kampung Sungai Baru di sini tidak mencapai nilai munasabah atau tidak memadai.
Peguam Panel Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Shahrin Satheer berkata sekiranya ia berlaku, pemilik hartanah itu mempunyai hak untuk mencabar dan menyatakan pengambilan tanah mereka perlu diketepikan dan tidak sah.
“So kalau kita lihat Fasal 13(1) Perlembagaan Persekutuan secara ringkas menyatakan tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
“Dan Fasal 13(2) berkata tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan ataupun penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai so bagi saya apabila tiada pampasan memadai pengambilan tanah itu adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Tapi pada masa sama kita juga ada pengecualian di bawah Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan di mana kuasa diberikan kepada kerajaan untuk mengambil tanah kita dengan beberapa syarat.
“Iaitu syarat pampasan munasabah diberikan dan kalau kita lihat kesan Seksyen 340 (Kanun Tanah Negara 1965) dan Perlembagaan Persekutuan tadi apa yang kita boleh faham dari sini ialah tiada siapa boleh dipaksa untuk jual tanah mereka di bawah nilai harga pasaran,” katanya hari ini dalam satu klip video sidang media bertajuk
“Pampasan Terlalu Rendah, PPIM gesa nilai semula harga tanah Penduduk Kg Sungai Baru”.
Sidang media itu diadakan susulan PPIM menerima aduan dan keluhan lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan nilai pampasan ditawarkan kepada mereka sebelum ini dan disifatkan terlalu rendah berbanding nilai sebenar.
Media sebelum ini melaporkan mereka menggesa kerajaan mempertimbang semula nilai pampasan kepada pemilik hartanah Kampung Sungai Baru berbanding apa ditawarkan kerajaan terdahulu melalui undang-undang di bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.
Susulan itu, Muhammad Shahrin menuntut kerajaan meminda semula Seksyen 3 Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960 supaya ia lebih khusus tentang bagaimanakah kerajaan boleh mengambil tanah memandangkan ketika ini maksudnya dilihat sangat meluas.
“Seksyen 3 ini dia punya maksud sangat luas bagi saya perkara ini perlu diubah sebab apa yang berlaku sekarang kita lihat ia telah disalah gunakan sebab sekarang ini kita ada dua nilai penilaian yang berbeza yang sangat ketara ada kerajaan mengatakan 450 per sekaki, swasta pula menyatakan 1,500 ke atas.
“Dan bagi saya yang paling logik adalah 1,500 sekaki dan ke atas sebab saya sendiri dah turun ke sana dan kita melihat Kg Sungai Baru dia sangat dekat dengan KLCC, sebelah dengan Saloma Bridge boleh nampak AKLEH atas sana so bagi saya kita tahulah untuk 450 per sekaki ini tak logik,” katanya. — The Merdeka Times
Artikel oleh: The Merdeka Times
ISU TANAH KAMPUNG SG BARU: BERI PAMPASAN TIDAK MUNASABAH LANGGAR PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN - PEGUAM