28 Jun
28Jun

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru, dekat Kampung Baru mendakwa pihak pemaju tanah tersebut telah menyalahgunakan kuasa dengan menakut-nakutkan penduduk yang masih berada di kediaman.

Peguam Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Shahrin Satheer berkata, pada 10 Jun yang lepas, pihak pemaju telah memotong bekalan elektrik dan air penduduk.

Malah, baru-baru ini satu tembok serta papan tanda mengarahkan penduduk untuk keluar dengan segera telah dinaikkan.

“Ada penduduk yang dipaksa untuk menandatangani borang persetujuan untuk pindah dan mereka diberitahu pihak pemaju tetap akan merobohkan rumah walaupun mereka masih menetap di situ,” katanya dalam sidang media dalam sidang media di sini, hari ini.

Bercakap dalam sidang media bersama penduduk kampung tersebut, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, penduduk telah bertemu dengan mereka kerana mendakwa telah ditindas apabila pihak pemaju menawarkan harga terlalu rendah yang tidak masuk akal jika dibandingkan dengan harga pasaran tanah semasa.

Tawaran yang diberikan oleh pemaju menyebabkan penduduk kampung terbabit buntu.

“Apa yang lagi menyedihkan adalah penduduk hanya ditawarkan harga RM450 untuk satu kaki persegi, sedangkan harga pasaran yang sepatutnya jika dinilai dari sudut pembangunan di situ, penduduk selayaknya mendapat RM1,500 bagi setiap kaki persegi.

“Ini kelihatan seperti kerajaan telah menyalahgunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah, walhal tanpa disedari mereka telah mendatangkan tekanan kepada para penduduk di situ,” tambahnya.

Seorang penduduk di situ, Hashim Mohd Salleh, 63, berkata, dia hanya menerima sebanyak RM30,000 sebagai pampasan.

Beliau juga bingung apabila peguam yang dilantik didakwa berpaling tadah dan berpihak kepada pemaju.

“Peguam yang saya lantik telah memujuk saya untuk menerima jumlah yang ditawarkan dengan alasan ‘lebih baik daripada tiada’,” katanya.

Shahrin meminta kerajaan supaya bertindak segera kerana jika isu ini berlarutan, ia menunjukkan penduduk di situ ditindas.

Apatah lagi, kebanyakan penduduk terlibat adalah warga emas.

“Jadi kerajaan perlu bersikap lebih bertanggungjawab, berikan mereka penempatan baharu dan pampasan yang sepatutnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PENDUDUK KG SUNGAI BARU DAKWA DITAKUTKAN OLEH PEMAJU - PPIM

https://malaysiagazette.com/2024/06/28/penduduk-kg-sungai-baru-dakwa-ditakutkan-oleh-pemaju-ppim/

Comments
* The email will not be published on the website.