26 Jun
26Jun

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa supaya mengambil kira pandangan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 dilaksanakan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, KKM didakwa mengetepikan pihak berkepentingan daripada berbincang bersama bagi meminda Akta Perubatan.

Katanya, sesi penglibatan antara pemegang taruh dan KKM sangat penting supaya suara semua pihak dapat didengari dalam membuat sebarang keputusan yang memberi kesan secara langsung kepada sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Para pemegang taruh seharusnya diberi peluang bagi menyuarakan pendapat mereka termasuk cadangan dan kritikan sebelum pindaan Akta Perubatan 1971 ini diteruskan.

“Oleh itu, PPIM menggesa KKM supaya jangan mengetepikan suara pihak kepentingan tertentu dan memastikan semua suara dapat didengari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Professor Kesihatan dan Perubatan (KPK&K), Prof. Dr. Noor Hassim Ismail berkata, akta itu tidak perlu digubal kerana tidak ada keperluan bagi mengubah akta tersebut.

Katanya, KKM perlu mematuhi undang-undang bagi membolehkan pelatih di bawah program Parallel Pathway didaftarkan dengan Daftar Kelayakan Negara (MQR) dan Daftar Pakar Negara (NSR)

“Jika benar program Parallel Pathway ini tidak mematuhi undang-undang, maka kesemua latihan kepakaran mesti diberhentikan kerana ianya tidak mematuhi Akta 50 (Akta perubatan 2012).

“KKM seharusnya menjelaskan bagaimana hendak menyelesaikan dilema pelatih-pelatih yang telah tamat latihan dan juga yang masih dalam latihan di mana masalah ini berpunca daripada mereka sendiri,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, draf cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 telah siap dan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tujuan semakan.

Cadangan tersebut dibuat bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapat kelayakan kepakaran melalui Parallel Pathway serta memperkemas dan proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan.

Artikel oleh: Kosmo

KKM DIGESA JANGAN MENGETEPIKAN PEMEGANG TARUH

https://www.kosmo.com.my/2024/06/25/kkm-digesa-jangan-mengetepikan-pemegang-taruh/

Comments
* The email will not be published on the website.