06 Jun
06Jun

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa syarikat perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) memastikan prosedur penghantaran makanan membabitkan makanan halal ditambah baik bagi mengelak kesilapan oleh semua pihak. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata kes terbaru membabitkan kanak-kanak berusia lapan tahun tersilap memakan makanan tidak halal iaitu daging babi panggang amat membimbangkan pengguna. 

Katanya, lebih menyedihkan apabila kanak-kanak terbabit adalah pelajar Tahfiz di Madrasah yang sedang dalam usaha menghafaz al-Quran. 

"Dalam keadaan ini pengguna itu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada syarikat penghantar namun adakah silap untuk pengguna yakin dengan syarikat terbabit? 

"Perlukah pengguna mengelak daripada menggunakan perkhidmatan mereka kerana tidak bertanggungjawab soal ini," katanya. 

Nadzim berkata sebelum ini, syarikat terbabit pernah mengumumkan penggunaan beg penghantaran berasingan bagi makanan halal dan tidak halal. 

"Bagaimana perkara itu berlaku sedangkan pengguna memesan makanan dari restoran halal, adakah penghantar makanan mengambil makanan dari dua restoran tanpa mengira status halal sehingga berlaku kesilapan," katanya. 

Nadzim turut menuntut syarikat terbabit untuk menghubungi pelanggan yang terkesan dan berbincang mengenai penyelesaian terbaik. 

"Syarikat sebesar mereka sepatutnya mampu melantik pegawai yang memantau bagi memastikan perkara sebegini tidak berlaku," katanya. 

Sebelum ini, tular di media sosial hantaran dimuat naik Pengarah Latihan dan Penyelidikan PPIM, Izham Nayan yang mendedahkan kisah anak pelanggan beragama Islam tersilap memakan makanan tidak halal yang dihantar oleh syarikat penghantaran terkenal. 

Menurut Izham, bapa kanak-kanak itu membuat pesanan dari tempat kerja untuk anaknya yang berada di rumah. Kejadian berlaku pada Sabtu 1 Jun lalu iaitu sewaktu bapa mereka bekerja manakala ibu kanak-kanak itu sedang menjalani kelas secara dalam talian. 

Ketika penghantar makanan menghantar makanan, ia diterima oleh anak pasangan itu yang berusia lapan tahun namun ibu mereka memeriksa makanan sebelum dimakan anaknya. 

Wanita itu mendapati nasi ayam tanpa sup sebelum menyambung semula kelas atas taliannya. Izham memaklumkan mangsa tidak tahu makanan yang lain mengandungi daging babi panggang kerana gagal menemukan resitnya. 

Ibu kepada empat orang anak itu kemudian menghantar mesej kepada suaminya untuk bertanya adakah itu makanan yang dipesan. 

Suaminya hanya menjawab 45 minit kemudian iaitu selepas anaknya selesai makan. 

Ketika makanan dihantar, penghantar menyebut nama pelanggan namun makanan yang diberikan silap. 

PPIM difahamkan keluarga mangsa sudah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. 

Artikel oleh: Harian Metro 

SYARIKAT P-HAILING PERLU PASTIKAN PROSEDUR PENGHANTARAN MAKANAN HALAL DITAMBAH BAIK 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/06/1097565/syarikat-p-hailing-perlu-pastikan-prosedur-penghantaran-makanan-halal 

Comments
* The email will not be published on the website.