26 Apr
26Apr

Para pemandu e-hailing yang menggunakan platform Grab wajib meninggalkannya dan memilih jenama lain yang lebih waras, jika Grab meneruskan kerjasama dan promosi arak secara terbuka dan besar-besaran.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindakan Grab mengadakan kerjasama dengan jenama arak antarabangsa untuk mempromosi amalan meminumnya.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi amat kecewa dengan kerjasama tersebut dan menyelar Grab yang tidak mempunyai sensitiviti terhadap sebilangan besar pemandu di negara ini yang beragama Islam.

"Grab yang sudah bertapak lama di negara ini seharusnya peka terhadap perkara-perkara yang dilarang dalam Islam. Ramai di antara pemandu Grab adalah beragama Islam dan tindakan kerjasama dengan jenama arak itu jelas mencabar agama Islam yang merupakan agama persekutuan," ujar Toqqi.

Kata beliau lagi, penyedia platform itu juga langsung tidak mempedulikan keresahan masyarakat yang mendedahkan amalan peminuman minuman keras itu secara umum sebagai sesuatu yang biasa untuk semua.

Dalam promosinya itu, seolah-olah peminum tak perlu fikirkan tentang pemanduan ketika mabuk kerana Grab sedia menawarkan khidmat pemanduan tersebut.

Grab juga pernah menimbulkan kontroversi apabila isteri pemiliknya memuji keindahan negara Israel yang dilawatinya suatu ketika dulu.

Toqqi seterusnya mencadangkan semua pemandu beragama Islam untuk memilih platform lain yang lebih wajar dan tidak secara terbuka mempamerkan kesombongan mereka sambil mencabar kedudukan Islam and umatnya di negara ini.

"Banyak lagi platform yang menawarkan peluang yang sama dan amatlah wajar mereka memilihnya daripada terlibat dengan dosa bersubahat dengan khamar ini" tambah Toqqi lagi.

Seterusnya Toqqi mengingatkan tentang 10 golongan yang berdosa berkait khamar ini secara langsung atau tidak langsung menurut Quran dan Hadis Nabi SAW.

Toqqi juga menyeru agar seluruh pengguna Islam memboikot penggunaan Grab untuk menyedarkan mereka terhadap sensitiviti kita terhadap benda Haram ini.

Comments
* The email will not be published on the website.