Kuala Lumpur: Naik 30 peratus berbanding biasa. Itu perubahan ketara yang berlaku membabitkan peminjam ceti haram atau along menjelang Aidilfitri, kurang seminggu lagi.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ia situasi membimbangkan kerana pada situasi ekonomi yang tidak menentu, keadaan itu menjadi mimpi ngeri kepada pengguna di negara ini.
Katanya, rekod PPIM mendapati, jumlah itu meningkat berbanding sebelum musim perayaan dan ia disebabkan keperluan yang mendesak untuk berbelanja.
"Saya tidak nafikan naik sebanyak 30 peratus berbanding biasa, semuanya disebabkan faktor ekonomi.
"Dari segi harga barang pun lebih mahal tahun ini jika nak dibandingkan dengan tahun lalu, tetapi mereka yang menjual barang juga mengambil kesempatan untuk meletakkan harga mahal," katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, keadaan itu diburukkan lagi apabila bukan pinjaman dibuat untuk berhari raya, tetapi mereka yang terpaksa memenuhi keperluan harian juga turut terjerat.
Masalah ini sudah lama, cuma sekarang ini keadaan semakin tertekan seperti masalah duit, masalah kerja dan banyak lagi.
Menurutnya lagi, golongan ini tidak mempunyai sumber utama untuk 'meminjam' wang demi kelangsungan hidup.
Katanya, selepas 25 tahun, PPIM tetap komited untuk membantu pengguna berdepan isu along, biarpun ada ketikanya cabaran dihadapi pihaknya tidak masuk akal.
"Biasanya kita berdepan isu kadar faedah yang sangat tinggi hinggakan peminjam tidak mampu untuk bayar.
"Ia isu lama yang masih lagi tidak selesai dan PPIM akan terus berjuang selagi boleh, "katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
NAK RAYA, PEMINJAM ALONG MENINGKAT 30 PERATUS - PPIM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1077582/nak-raya-peminjam-along-meningkat-30-peratus-ppim