KUALA LUMPUR - Courts Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Astro mengambil kesempatan memasak bubur lambuk sempena Ramadan secara gotong-royong untuk diedarkan kepada orang ramai pada Sabtu.
Sebanyak 1,500 pek bubur lambuk diedarkan serentak di 16 cawangan Courts seluruh negara sempena program tersebut. Ketua Pegawai Operasi Courts Malaysia, Anuraj Srivastava berkata, program diadakan itu merupakan komitmen bersama rakan kolaborasi untuk menyumbang kepada komuniti.
Anuraj (belakang, enam dari kanan) bersama tetamu kehormat bergambar bersama anak-anak Akademi Tahfiz Al-Hidayah yang diraikan pada Sabtu.
"Program tahunan ini akan diteruskan pada masa akan datang selari hasrat kami untuk menyumbang kepada masyarakat dan mengukuhkan peranan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Bentuk sinergi ini merupakan pelan jangka masa panjang ke arah masa depan lebih baik untuk negara," katanya pada Program Bubur Lambuk di Courts Setapak pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Jualan & Pemasaran Astro, Tai Kam Leong.
Tepat jam 4 petang, proses pengedaran bubur lambuk telah diagihkan kepada anak-anak tahfiz Akademi Tahfiz Al-Hidayah selain petugas barisan hadapan di balai polis, balai bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta masyarakat sekitar.
Berpegang kepada prinsip menyumbang kepada masyarakat, Courts turut menyantuni anak-anak tahfiz dari Akademi Tahfiz Al-Hidayah dengan memberi sumbangan produk bernilai lebih RM3, 000 bagi menggantikan peralatan yang rosak.
Program turut diceriakan dengan penampilan khas Upin Ipin bagi meraikan anak-anak tahfiz Akademi Tahfiz Al-Hidayah.
Dalam pada itu, Anuraj berkata, pelbagai program menarik diatur bagi menambah kegembiraan menyambut Aidilfitri.
"Court sentiasa ingin membina hubungan lebih rapat dengan para pelanggan melalui pelbagai aktiviti agar dapat lebih memahami keperluan pembeli bersesuaian dengan kehendak mereka.
"Bagi menambah kegembiraan sempena Aidilfitri, Courts mengumumkan kolaborasi eksklusif dengan Astro yang menawarkan tiga bulan langganan pakej secara percuma untuk pelanggan baharu Astro di Courts," katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
COURTS, PPIM, ASTRO AGIH 1,500 PEK BUBUR LAMBUK