KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mengkaji semula keperluan dos vaksin penggalak Covid-19 kepada rakyat susulan dakwaan wujudnya kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan penerima vaksin sedia ada.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya KKM bersikap lebih terbuka dengan mendedahkan angka-angka sebenar dan fakta-fakta mereka yang mengalami gejala kesan sampingan ini.
Katanya, KKM juga perlu menetapkan dasar yang lebih konkrit dalam hal mencegah penyakit tanpa bergantung kepada vaksin semata-mata.
“Rakyat sudah lalui satu fasa, perintah kawalan pergerakan (PKP) dan lalui penyakit (Covid-19). Tapi akhirnya kita lihat ia sudah menjadi selsema biasa.
“Tetapi ramai sakit (pasca vaksin). Kenyataan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) yang mungkin KKM akan keluarkan arahan pengambilan dos penggalak, merisaukan kami.
“Adakah ini satu-satunya laluan yang kita perlu hadapi? Kenapa mesti galakkan? Adakah tidak ada rawatan yang lebih baik?,” katanya pada sidang media yang diadakan hari ini.
Sidang media berkenaan turut disertai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) paramedik yang menyuarakan kebimbangan sama dan menuntut penjelasan daripada KKM bagi menjamin keselamatan kesihatan masyarakat.
Nadzim berkata, KKM juga digesa agar mengkaji dan menggubal semula Kertas Putih Kesihatan yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Jun lalu.
“Kami mahu KKM mengkaji dan menggubal semula Kertas Putih berkenaan yang kurang menitikberatkan soal kawalan wabak rentas sempadan dan tidak membiarkan pihak lain mengambil kesempatan untuk menafikan cara kita dalam menanganinya,” katanya.
Dalam pada itu, pakar perubatan rehabilitasi kanser, Dr Kenny Yong Yean Sirn berkata, KKM perlu menjelaskan status semasa Covid-19 bagi negara ketika ini sama ada sudah berada pada fasa endemik.
Katanya, kajian KKM juga wajar melaksanakan ujian tahap antibodi penerima vaksin bagi menentukan status kesihatan mereka sebelum mengeluarkan arahan pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19.
“Persoalannya bolehkah KKM dapatkan laporan keselamatan dos vaksin ini atau adakah kita hanya ikut membuta tuli?
“Selepas empat tahun, sepatutnya perlu ada kajian dan maklum balas berkenaan dengan kesan sampingan dos vaksin ini, sama ada memberi kesan baik atau buruk,” katanya lagi. -Edisi 9
Artikel oleh: Edisi 9
PPIM MINTA KKM KAJI SEMULA KEPERLUAN DOS VAKSIN PENGGALAK
https://www.edisi9.com.my/2023/12/ppim-minta-kkm-kaji-semula-keperluan-dos-vaksin-penggalak/