30 Jan
30Jan

PETALING JAYA: Produk sistem kewangan Islam di negara ini didakwa tidak langsung melambangkan Islam kerana tiada aspek ‘kemanusiaan’ seperti dituntut agama apabila terus menindas peminjam dengan pelbagai cara.


Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ia amat mendukacitakan apabila sistem kewangan Islam yang sepatutnya tiada unsur penindasan tidak diamalkan.


“Saya sudah bersuara mengenai perkara ini termasuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM), kita kena ubah arah tuju sistem perbankan negara. Daripada purely commercial kepada kemanusiaan.


“Tetapi kemanusian itu tiada, kat mana (dalam sistem) pun kita tak tahu. Orang tak bayar RM5 pun mereka jadikan masalah besar, kita lihat kembali mengenai perkara tersebut di manakah Islamnya?” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.


Terdahulu akhbar ini mendedahkan, kaedah pembiayaan kewangan Islam di negara ini yang dikatakan tidak terdedah risiko kenaikan kadar hutang didakwa belum mematuhi konsep maqasid al-syariah sepenuhnya kerana masih tertakluk kepada peraturan tertentu berpaksikan faedah dan riba.


Malah turut dikatakan, ia hanya bersifat indah khabar daripada rupa apabila terus ‘memeras ugut’ peminjam dengan mengenakan faedah terlalu tinggi dan tidak munasabah walaupun ia merupakan produk sistem kewangan Islam.


Sehubungan itu, Nadzim menggesa kerajaan campur tangan bagi melihat kembali sistem tersebut, supaya unsur-unsur yang menindas rakyat dapat diketepikan dan hanya berpegang teguh kepada sistem Islam.


“Kerajaan kena lihat balik perkara ini supaya tidak berlaku penindasan, di dalam Islam pun tidak boleh ada perkara sedemikian tetapi lain pula sekarang ni apabila penindasan seolah-olah menjadi asas,” katanya.


Sementara itu, Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berpendapat, sistem kewangan Islam yang menjadi kebanggaan negara pada satu ketika dahulu kini tidak jauh bezanya dengan sistem konvensional.


Katanya, perkara itu semakin disedari oleh orang ramai disebabkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca Covid-19, apabila pendapatan peminjam mula merosot serta terjejas.
“Cara pengendalian sistem kewangan Islam tidak jauh beza dengan konvensional, jadi kita kena lihat perincian itu semula. Sepatutnya perbankan Islam lebih kepada empati terhadap peminjam terutamanya Muslim.


“Bukan mereka tak boleh buat keuntungan, tetapi sepatutnya membantu orang Islam dalam memudahkan pembayaran, menggalakkan untuk memiliki aset. Ini bagi memastikan ekonomi Muslim berkembang.


“Sedangkan orang bukan Islam pun suka dengan sistem kewangan Islam ni tetapi kena lihat balik ‘pengamalan’ itu balik secara terperinci supaya kita dapat kendalikan mengikut syariah yang betul,” jelasnya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

KEWANGAN ISLAM ADA UNSUR MENINDAS

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/kewangan-islam-ada-unsur-menindas/

Comments
* The email will not be published on the website.