06 Jun
06Jun

PETALING JAYA – Peminjam-peminjam ah long mengakui hidup mereka bagaikan digari seumur hidup, malah terpaksa menghambakan diri kepada ceti haram terbabit selepas terjerat dengan hutang yang banyak.

Banglo bernilai jutaan ringgit dilelong, manakala kenderaan mewah terpaksa dijual bagi membayar hutang ah long dan lebih teruk apabila isteri diugut bunuh jika peminjam gagal melunaskan hutang.

Seorang kontraktor yang dikenali sebagai Azhar, 50-an, berkata, tangan dan kakinya bagaikan ‘digari’ ah long lebih lima tahun selepas terdesak membuat pinjaman untuk melaksanakan beberapa projek pada tahun 2010.

Lebih menyedihkan, dia terpaksa membayar semula hutang lebih RM1.1 juta walaupun hanya meminjam kira-kira RM600,000 dengan dua ah long berbeza.

“Saya membuat pinjaman ah long kerana ingin membuat modal pusingan selepas mendapat beberapa projek penyelenggaraan jalan dan pembaikan ba­ngunan.

“Saya juga ada menceburi perniagaan lain ketika itu dan itu antara punca modal pusingan untuk membuat projek semakin kurang dan terpaksa meminjam dari ah long,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Menurutnya, walaupun perniagaan semakin berkembang, namun ketika itu dia tidak cukup modal untuk membiayai kos projek, gaji pekerja sehingga akhir­nya terjebak dengan ah long.

Katanya, bagi meluaskan empayar perniagaan, dia membuat dua pinjaman kira-kira RM600,000.

“Pembayaran dalam tempoh dua tahun pertama tiada tertunggak sehingga saya mengambil keputusan untuk bayar ‘bu­nga’ atau faedah sahaja selepas itu.

“Ketika itu, saya terpaksa kurangkan bayaran kerana memerlukan wang lebih untuk projek-projek dan urusan perniagaan hartanah yang saya jalankan. Saya hanya membayar bu­nga, namun hutang pokok tidak berkurang.

“Jadi hutang saya dengan ah long semakin bertambah sehingga saya tak mampu lagi membayar bunga dan hutang pokok. Projek semakin bermasalah, saya terpaksa membuang pekerja dan ketika itu saya sangat tertekan,” katanya.

Ujarnya, empat kenderaan terpaksa dijual untuk melangsaikan bunga pinjaman dan sebuah ­banglo bernilai kira-kira RM1.5 juta di ibu kota hampir dilelong.

Katanya, dia kemudian mengadu masalah itu kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sekitar tahun 2015 dan pertubuhan itu menjadi orang tengah antaranya dan ah long.

“Ketika itu, perniagaan saya telah jatuh, saya terpaksa jual empat kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard, dua buah kereta dan sebuah pacuan empat roda bagi menyelesaikan hutang ah long.

“Saya juga mengiklankan rumah banglo bernilai RM1.5 juta untuk dijual, namun nasib baik tak jadi,” katanya yang kini bebas hutang ah long sejak dua tahun lalu hasil bantuan PPIM.

Nasib sama turut dikongsi seorang lagi mangsa ah long dikenali sebagai Aman, 40-an, yang memaklumkan isterinya diugut bunuh gara-gara tidak dapat melunaskan hutang.

Katanya, dia hanya meminjam kira-kira RM500 selepas terdesak untuk membayar sewa rumah dan membeli keperluan dapur.

“Saya pinjam wang melalui satu aplikasi dalam talian dan rupa-rupanya aplikasi itu adalah ah long. 

Saya pinjam RM500 dan perlu dibayar semula dalam masa 10 hari.

“Bagaimanapun, ketika hendak membayar semula wang berkenaan, saya dimaklumkan perlu membayar RM4,000 sekali gus. Saya buntu kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu dan terus diugut bertalu-talu oleh ah long yang menghubungi saya setiap hari.

“Lebih malang, isteri saya yang juga penama dalam pinjaman berkenaan menerima ugutan bunuh jika tidak me­langsaikan hutang seperti yang diminta,”ujarnya yang bekerja sebagai kerani swasta.

Katanya, dia telah membuat laporan polis berkenaan ugutan tersebut dan ketika ini kesnya itu turut dibantu oleh Pertubuhan Gerakan Transformasi Gerakan Pengguna Malaysia (GTPM).

Artikel oleh: Kosmo

HIDUP 'DIGARI' AH LONG

https://www.kosmo.com.my/2023/06/03/jual-kenderaan-hampir-lelong-banglo-bahana-hutang-ah-long-lebih-rm1-1-juta/

Comments
* The email will not be published on the website.