KUALA LUMPUR: Syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau ahlong bukan saja semakin rakus mengaut keuntungan dengan memeras ugut mangsa, malah turut didakwa menghina agama Islam.Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Zharif Johor, berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang peminjam yang mendakwa diugut dan diganggu ahlong dari Johor Bahru.
"Minggu lalu, pihak kami menerima aduan daripada seorang peminjam yang tidak mampu membayar balik pinjaman ahlong kerana kadar bunga melampau yang dikenakan.
"Disebabkan tidak mampu membayar balik hutang itu, peminjam mendakwa ahlong bertindak mengugutnya, selain membuat salinan MyKad (peminjam) dengan menulis kata-kata yang menghina agama Islam, sebelum menyebarkannya di kawasan kediaman peminjam," katanya kepada BH, semalam.
Muhammad Zharif berkata, susulan kejadian itu pihaknya cuba menghubungi ahlong berkenaan, bagaimanapun sindiket itu bertindak agresif dan bergaduh dengan aktivis PPIM.
Muhammad Zharif Johor
"Ahlong ini berada di Johor dan kita tidak dapat mengenal pasti siapa sebenarnya mereka kerana nombor telefon tidak didaftarkan di negara ini, sekali gus menjadikan siasatan siapa dalang di sebalik penghinaan (agama Islam) itu lebih sukar.
"Pihak kita masih mencari jalan penyelesaian dan berharap kerajaan serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk memantau pendaftaran talian telefon mudah alih dengan lebih ketat, di samping memberi kesedaran kepada rakyat mengenai bahayanya jika mereka memberikan maklumat peribadi bagi digunakan untuk mendaftar talian telefon mudah alih," katanya.
Katanya, persatuan itu juga bimbang kes seperti keldai akaun, di mana pemilik tidak menyedari akaun bank milik mereka digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu dan kerja jenayah sehingga terpaksa meringkuk dalam penjara.
"Jika tidak dikawal dengan ketat dan diambil perhatian oleh KKD, kejadian seperti keldai akaun ini akan merebak kepada keldai akaun telefon pula.
"Ia sangat membimbangkan kerana ugutan boleh dibuat oleh sesiapa di mana-mana tanpa pendaftaran sah dan sukar untuk dikesan," katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
AHLONG HINA ISLAM PEMINJAM TAK BAYAR HUTANG