Oleh Ikaz
KUALA LUMPUR – 3 Mac 2023
“Peluang saya bermula apabila saya memenangi satu pertandingan dalam sebuah rancangan televisyen TV3 pada September 2013. Hadiahnya berupa makan tengah hari dengan Lagenda Gusti WWE – Booker T.
Ketika itu, saya telah menyatakan minat saya untuk menjadi seorang ahli gusti profesional seperti beliau – Booker T,” kata Shaukat mengimbau sejarah hidupnya dalam Dunia Gusti Profesional.
Lantas Booker T menjawab, “Kawan, jika anda ingin menjadi ahli gusti pro dan jika anda tidak mampu pergi ke AS (Amerika Syarikat) untuk mencapai impian anda, maka anda mesti menjadi orang yang memulakan gusti pro di sini di Malaysia".
Peristiwa itu yang menjadi pembakar semangat untuk anak bangsa Melayu yang bernama Ayez Shaukat-Fonseka Farid bergiat secara Profesional sebagai Ahli Gusti di Malaysia dan membawa nama Malaysia ke Amerika Syarikat.
Menggunakan nama gelanggang – SHAUKAT, beliau yang lahir pada Julai 1987 mempunyai aura yang tersendiri. Bukan sahaja sebagai LELAKI MELAYU PERTAMA yang berkecimpung dalam Dunia Gusti Profesional – bahkan merupakan LELAKI MELAYU PERTAMA yang telah muncul dalam rancangan televisyen USA – The CW Channel (dimiliki oleh CBS dan Warner Bros) dalam siri tv gusti profesional yang disebut “Reality of Wrestling – ROW”. Ia telah disiarkan pada bulan Jun hingga Julai 2022 yang lepas.
Shaukat mempunyai hubungan baik dan dibimbing oleh Lagenda WWE – Booker T serta Dr. Tom Prichard – iaitu guru kepada ahli gusti WWE/WWF seperti The Rock, Randy Orton, Kurt Angle dan ramai lagi.
Malah sewaktu Shaukat berada di Amerika Syarikat, beliau telah dijemput oleh Dr. Tom Prichard untuk memberi tunjuk ajar kepada para pelajar di akademi gusti milik Dr. Tom Prichard.
“Malah, kerana bakat saya dalam pengarahan dan lakonan, Dr Tom Prichard iaitu jurulatih yang telah melatih Dwayne Johnson ‘The Rock’ sendiri telah menjemput saya untuk mengajar pelajar-pelajarnya di Knoxville, Tennessee,” katanya dalam satu perkongsian di Instagram storynya.
Membawa gusti pro ke Malaysia
“Sebenarnya, saya memulakan sekolah gusti pro pada tahun 2014 dan selama setahun, kami hanya mempunyai empat orang pelajar. Setelah bergelut sebentar, kami membuat pertunjukan pertama kami pada tahun 2016, ketika itulah saya membuat penampilan di Kuala Lumpur.
“Setelah menerima nasihat Lagenda Gusti – Booker T supaya saya memulakan Gusti Profesional di Malaysia ketika itulah saya menggabungkan semua kemahiran saya sebagai pelakon, pembuat filem dan pengarah aksi untuk memulakan gusti pro di sini. Kami menggunakan sukatan pelajaran yang dikembangkan oleh Dr Tom Prichard, yang melatih Dwayne 'The Rock' Johnson,” jelas Shaukat.
Sebagai catatan, Shaukat mengasaskan Malaysia Pro Wrestling (MyPW) tetapi berpisah dengan bekas rakannya pada tahun 2020 setelah mempunyai visi yang berbeza untuk mengembangkan industri gusti profesional dan memulakan APAC Wrestling.
APAC Wrestling kini beroperasi di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Maklumat berkaitan boleh diperolehi melalui laman Facebook – APAC Wrestling.
Mengikut paparan terkini di Facebook APAC Wrestling terdapat pertunjukan akan dilakukan pada 11 Mac 2023 – “APAC Wrestling: Dominion”.
Lengkap Bertanjak, Kemunculan Shaukat Di ‘Reality Of Wrestling’ Buat Peminat Gusti Tempatan Bangga
Merujuk artikel yang pernah diterbitkan oleh Harian Metro pada 27 Jun 2022, bagi mengetengahkan identiti Malaysia, Ayez (Shaukat) tampil dalam rancangan itu dengan memakai tanjak dan jaket songket ditempah oleh Paul Carling, pereka pakaian dari Sarawak yang banyak menghasilkan busana pertandingan Ratu Cantik di Borneo.
Merujuk artikel Gempak.com – “Bergusti Pakai Tengkolok, Ayez Shaukat Fonseka Buktikan Gusti Profesional Masih Onz! – “Kita Pun Setanding Barat”. Shaukat – anak kelahiran Malaysia yang dibesarkan sebagai ahli gusti profesional tular selepas muncul dalam rancangan televisyen gusti profesional Amerika Syarikat ‘Reality of Wrestling’ dengan memakai tengkolok dan songket.
Masih Ramai Yang Tidak Mengenali ‘Siapa Shaukat ?’
Dipetik dari laman web Getaran.my - Barangkali, dia tidak begitu dikenali di kalangan peminat dunia perfileman tempatan. Namun, penglibatan Ayez Shaukat di dalam bidang ini bukanlah baharu.
Bermula sebagai kru teknikal, pelagak ngeri, koreografer lagak ngeri, pengarah aksi dan akhirnya mengarahkan filem sendiri iaitu Gila Gusti, siapa sangka, Ayez yang juga seorang pelakon dan ahli gusti negara telah berpeluang muncul di kaca TV Hollywood, baru-baru ini.
Terdahulu Ayez Shaukat pernah terbabit dalam telefilem Budak Lorong serta berlakon filem Juvana 2 dan Juvana 3. Dia juga pernah menjadi pelakon dan penolong pengarah filem Gila Gusti dan filem pendek berjudul Taruh yang tular sejak dikongsi di laman FB Cineplus Asia.
Ayez Shaukat juga pernah mengarahkan filem Inggeris berjudul Dark Eye untuk Amazon.
Pesanan untuk Shaukat :
Kamu diibaratkan sebutir permata yang lebih berharga daripada pasir sepantai. Membawa nama Malaysia hingga jauh ke Amerika dalam Dunia Gusti yang tidak pernah diceburi anak bangsa Melayu.
Memetik serangkap puisi karya Ratu Rimba Niagara:
Takkan hilang Melayu di dunia,
Itu sumpah Laksamana Hang Tuah,
Bersatulah Melayu sedunia,
Itulah jiwa Laksamana Hang Tuah.
Semoga semangat Hang Tuah sentiasa bersama Shaukat. Moga kewujudan dan kejayaan bangsa Melayu akan terus ada di mana-mana di segenap pelusuk dunia. Amin.
Sumber :-
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/856074/ayez-ke-hollywood
https://www.malaysiakini.com/news/628546
https://says.com/my/sports/ayez-shaukat-pro-wrestling-pioneer
Video youtube :
https://www.youtube.com/watch?v=GUzJuw_0rVw https://www.youtube.com/watch?v=yo6oljryjL0 https://www.youtube.com/watch?v=AIdqbK0bT3Q