Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa agar harga ayam dan telur diturunkan sekiranya benar berlakunya lebihan terhadap kedua-dua barangan keperluan berkenaan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya melihat tidak ada sebab berlaku kekurangan bekalan ayam dan telur di negara ini.
"Berapa kali kita nak jadi macam ini? Dan tiap-tiap musim perayaan (harga telur dan ayam) memang naik.
"Perkara ini kena dikawal sepenuhnya. Jangan beri kartel ruang. Biasanya kartel itu pula dijadikan tempat rujukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Sebelum ini dilaporkan bekalan ayam dan telur diunjurkan stabil bagi suku pertama tahun ini dengan purata lebihan ayam sebanyak 16,846,447 ekor sebulan berbanding keperluan 75,004,487 ekor bagi tempoh sama.
Bagi telur, terdapat lebihan 119,856,950 biji telur sebulan berbanding keperluan 1,004,506,942 biji telur.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, bagi mengukuhkan keterjaminan makanan, kementerian melaksanakan langkah jangka pendek dan panjang antaranya memberikan subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur untuk membantu mengatasi kenaikan kos pengeluaran, mulai 5 Februari hingga 31 Disember 2022.
Nadzim berkata, kerajaan juga seharusnya menjelaskan mengapa berlaku kekurangan terhadap bekalan ayam dan telur sebelum ini.
"Takkan satu kerajaan tak boleh nak selesaikan masalah ini. Daripada dulu lagi (masalah ini berlaku), tak masuk akal," katanya.
Sementara itu, peniaga murtabak, Mohd Yusup Jantan, 52, pula melihat bekalan telur kembali pulih sedikit berbanding sebelum ini pihaknya sukar untuk memperolehinya.
"Bekalan itu saya lihat sebenarnya stok tidak banyak tetapi disebabkan kami berniaga, mereka ada simpankan," katanya. Dia juga turut berharap sekiranya berlaku lebihan telur dan ayam, harganya dapat diturunkan.
Peniaga santan, Yusnaedy Idrus, 55, pula berkata, bekalan telur kini mudah diperoleh.
"Kalau ikut sekarang telur mula ada.
Jika pelanggan nak, sudah ada. "Tak macam dulu sampai tidak ada telur. Jika dibandingkan harga pula ia masih ok," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
KALAU BETUL BEKALAN AYAM DAN TELUR BERLEBIHAN, HARGA MESTI DITURUNKAN