Kuala Lumpur: Hanya selang seminggu selepas kepulangan kumpulan pertama, Muslim Care Malaysia (MCM) menghantar kumpulan sukarelawan kedua bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Kumpulan merangkumi sembilan individu itu akan berlepas dari terminal satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 11.40 malam.
Ketua misi, Ahmad Safuan Ujar berkata, berbeza dengan kumpulan pertama, sasaran utama penerima bantuan bagi misi kedua ini adalah mangsa gempa yang berada di wilayah utara Syria.
"Lokasi yang akan cuba kami masuk adalah Idlib yang terletaknya dua sekolah milik MCM yang sudah beroperasi selama sembilan tahun lalu sejak dibuka pada 2014," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung MCM berkata, selain sumbangan makanan, selimut dan pakaian kepada mangsa, pihaknya turut mensasarkan bantuan berimpak besar yang mungkin membabitkan tempoh lebih lama.
"Mungkin kami akan membina atau membaiki rumah golongan asnaf terutama ibu tunggal dan sekolah yang musnah.
"Ini kerana kami difahamkan itu adalah keperluan mereka yang paling mendesak ketika ini," katanya.
Ahmad Safuan berkata, untuk misi kali kedua selama seminggu itu, MCM tidak bersendirian dan bekerjasama dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sebuah agensi kerajaan.
"Organisasi terbabit adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Integrasi Al-Huffaz, Yayasan Alumni Sekolah Alam Shah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)," katanya.
Kumpulan pertama misi bantuan MCM ke Turkiye membabitkan lima individu termasuk dua wartawan pulang pada 14 Februari lalu selepas enam hari berada di negara itu.
Sementara itu, Presiden MCM Zulkifli Wahijan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan sumbangan melalui MCM bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
"Tabung sumbangan masih dibuka kerana jutaan rakyat Turkiye dan Syria yang terbabit dengan gempa bumi amat dahsyat ini masih memerlukan bantuan kita.
"Setakat ini, lebih 45,000 individu dilaporkan terkorban," katanya.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 564490413882 atas nama Muslim Care Malaysia dan hantarkan slip sumbangan kepada talian hotline MCM, 011-50050035 atau atau Ahmad Safuan, 013-4886447.
Artikel oleh: Harian Metro
KUMPULAN KEDUA SUKARELAWAN BERLEPAS KE SYRIA BANTU MANGSA GEMPA