19 Feb
19Feb

Oleh Ikaz 

Diterima pada 19 Februari 2023 – Kuala Lumpur 

1.        Terima kasih yang terus-menerus memberi sokongan. 

2.       Selepas dua hari berturut-turut saya diberi liputan khusus di Buletin TV3, ramai sahabat handai menghubungi menyatakan rasa terkejut dan simpati atas nasib yang menimpa. 

3.   Kisah sejak 2015 disaman, kemudian 2018 kalah saman kemudian 2020 dimufliskan adalah time line kehidupan saya yang sangat luar biasa. Kes saman saya berkaitan isu takfiri apabila keluar dari parti Islam. Saya gagal membuktikan dakwaan ini. 

4.      Apatah lagi dalam tempoh itu 2017, anak pertama saya dilahirkan dalam keadaan penyakit jantung yang memerlukan kami satu keluarga berkampung di ICU Riyadh selama 9 bulan. 

5.            Dalam tempoh saya berada di ICU Riyadh, Syifaa tiga kali jantung berhenti, dua kali pembedahan besar dan berkali-kali masuk ke bilik pembedahan. Kos rawatan menjangkau lebih dua juta riyal dibiayai Raja Mohamad Bin Salman, Putera Mahkota Saudi yang kini Perdana Menteri Saudi. Bantuan ini hasil hubungan baik Dato Hishamuddin Hussein dengan Raja Saudi. 

6.            Dalam tempoh sukar ini saya dimaklumkan kalah dalam kes saman dan diminta untuk membayar saman tersebut. 

7.            2018 Syifaa dibawa pulang ke Malaysia sebagai peluang untuk beliau berehat sebelum rawatan seterusnya juga di Riyadh. Tapi pilihan untuk bawa pulang ke Malaysia tidak seperti yang diharapkan kerana sejurus pulang Syifaa dijangkiti kuman ketika rawatan di Hospital kemudian meninggal dunia pada tarikh 11/11/2018. 

8.         Tidak cukup dengan kesedihan ini, saya dimaklumkan proses muflis akan dilakukan segera ke atas saya. Saya redha dan yakin akan dibantu oleh menteri-menteri Amanah seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini. Tetapi hampa semua email saya tidak dibalas sehingga kerajaan PH jatuh. 

9.           Selepas mengaharungi kesedihan kematian anak dan dimufliskan saya tekad untuk menamatkan pengajian master saya di Riyadh. 

10.       2020, kita diuji dengan wabak covid-19, yang memaksa saya pulang ke tanah air. Tanpa disedari saya dimaklumkan nama saya sudah disenarai hitam oleh pihak Insolvensi dan baki pengajian saya yang hanya tinggal satu semester tidak akan dapat diselesaikan. 

11.         Rayuan kepada pihak Insolvensi untuk saya berpeluang ke Arab Saudi diterima dengan syarat membayar sejumlah wang sebanyak RM3000 termasuk jaminan. Sekali lagi ayah saya mengeluarkan wang pencennya untuk mencukupkan wang pelepasan ke luar negara. Usia ayah 73 tahun menanggung kesusahan yang dialami oleh saya. 

12.        2022 saya berjaya pulang dengan segenggam sarjana di dalam bidang Fiqh Perbandingan, kajian tesis saya berkaitan Keterjaminan Makanan dan analisis Fiqh terhadap isu ini mendapat kepujian oleh pihak universiti untuk saya pulang dengan segulung impian berbakti kepada tanah air. 

13.        Sekali lagi saya menimpa malang, 4 buah institusi berjaya saya tembusi untuk melayakkan mendapat pekerjaan. Tetapi hanya air mata mengiringi tawaran ini apabila pihak pentadbiran mengetahui status muflis saya segera membatalkan tawaran yang diberi. 

14.       Pernah saya mendapat jawatan pensyarah dan ketika hari melapor diri, dekan universiti enggan menerima saya kerana mendapat tahu status muflis saya. Malah pihak pendaftar menghubungi saya membatalkan tawaran yang diberi ketika saya sudah datang untuk melapor diri. Bayangkan!!! 

15.       Ketika saya berniat untuk mengadakan majlis kesyukuran di rumah ibu saya atas kejayaan mendapat kejayaan kerja, saya terpaksa menghubungi ibu saya memaklumkan pembatalan ini. Bayangkan air mata seorang ibu tua usia 72 menangis tanpa suara. 

16.    Itulah yang saya alami saban hari. Bekerja sebagai penghantar makanan sudah setahun, setiap hari membilang jumlah pampers Ayyash supaya cukup dengan jumlah upah harian. 

17.          Ya saya bertuah saban bulan yang lalu ada universiti tidak perasan status muflis saya, sehingga memberi peluang saya menjadi pensyarah sambilan. Tapi kontrak itu berakhir bulan ini dan tidak diperbaharui lagi. 

18.       Itulah ujian hidup yang saya alami ketika ini. Berkongsi bukan untuk meminta-minta, saya bukan faqir yang tiada daya upaya, tapi tatkala undang-undang dimanipulasikan, stigma hina terus menerus membunuh jiwa-jiwa muda yang ingin berkarya dengan ilmu yang ada. 

19.       Terima kasih Puan Juliana Sharin, wartawan TV3 yang membuka ruang saya bersuara sebagai anak watan di negara madani yang tercinta. 

Tambahan penulis :- 

Sesiapa yang ingin menawarkan pekerjaan yang sesuai kepada Encik Ahmad Syihan Ismail boleh berhubung dengannya melalui emel : syihanriyadh89@gmail.com                 

Facebook : Ahmad Syihan Ismail

Tiktok : Seperti QR code tersebut 

Resume Encik Ahmad Syihan Ismail seperti berikut : -




Comments
* The email will not be published on the website.