15 Feb
15Feb

Oleh Ikaz 

KUALA LUMPUR – 15 Februari 

1.      Saya terpanggil untuk menulis berkaitan perkara di atas setelah membaca banyak komen-komen dalam group di facebook. 

2.      Ia bermula dengan perkongsian pengalaman seorang rakan yang berkongsi kisahnya berjaya memohon kebankrapan atas diri sendiri. 

3.     Untuk makluman – membankrapkan diri sendiri dipanggil Bankrap atas Petisyen Penghutang (Debtor’s Petition – DP) 

4.     Kebiasaanya permohonan bankrap dibuat oleh pihak pemiutang atas Petisyen Pemiutang (Creditor’s Petition) akibat kegagalan penghutang membayar hutang yang bernilai lebih RM100,000 (Ringgit Malaysia :Seratus ribu). 

5.         Untuk membankrapkan diri sendiri – Petisyen Penghutang tiada had limit  yang ditetapkan dalam Akta Insolvensi 1967. 

6.         Maksudnya sesiapa pun boleh memohon untuk mahkamah mengeluarkan Perintah Kebankrapan ke atas diri sendiri tanpa nilai minima ditetapkan. 

7.         Namun suka saya menasihatkan masyarakat lebih cakna tentang kesan-kesan kebankrapan terhadap diri apabila dijatuhi hukuman bankrap – selain kelayakan yang hilang yang dipaparkan dalam web Jabatan Insolvensi Malaysia https://www.mdi.gov.my/index.php/ms/utama/soalan-lazim/103-bankruptcy-faq/1649-10-apakah-kelayakan-yang-hilang-bagi-seorang-bankrap 

8.         Membankrapkan diri sendiri hanya menjadi pilihan terakhir jika seorang itu tidak tahu jalan mana yang lebih sesuai selain membankrapkan dirinya sendiri. 

9.    Namun sebelum memohon bankrap atas diri sendiri seharusnya seseorang itu :-             

     9.1      Mendapat ilmu pengetahuan yang sepenuhnya berkaitan kebankrapan; 

    9.2   Termasuk kesan dan halangan serta kelayakan yang hilang oleh bankrap;             

     9.3       Persediaan untuk memasuki Dunia Bankrap;                            9.4     Persediaan dan perancangan untuk bebas daripada Dunia Bankrap nanti. 

10.      Jika mereka telah mengetahui semua perkara di atas dan kemudian memutuskan untuk memohon bankrap atas Petisyen Pengutang (Bankrap diri sendiri), maka boleh lah mereka meneruskan keputusan tersebut. 

11.      Memang benar hak-hak seseorang bankrap dilindungi di bawah Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) namun kesan terhadap seorang bankrap perlu diketahui dengan jelas. 

Kesan / akibat terhadap seorang bankrap 

12.      Segala harta dan aset seorang bankrap adalah tertakluk kepada kuasa Jabatan Insolvensi Malaysia menurut Seksyen 24(4) Akta 360, semua harta milikan bankrap hendaklah terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk dibahagikan kepada pemiutang. 

13.       Ini bermaksud semua harta nama bankrap seperti rumah, kenderaan dan sebagainya akan dirampas dan dilelong untuk dijadikan wang bagi membayar hutang. 

14.     Walaupun terdapat budi bicara di jabatan untuk tidak merampas rumah yang didiami bankrap atau kereta yang digunakan bankrap namun itu tertakluk kepada kuasa budi bicara Pegawai Insolvensi. 

15.      Sebagai contoh: A seorang bankrap. Kemudian selepas menjadi bankrap tanah dan rumahnya diambil oleh Jabatan Insolvensi. Kemudian A meninggal dunia. A mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak. Mengikut hukum faraid isteri dan anaknya boleh menjadi pewaris harta tersebut. Namun disebabkan beliau seorang bankrap – maka semua hak tersebut diambil oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. 

16.     Contoh kedua : A seorang bankrap. Selepas dijatuhi hukuman bankrap, bapa A meninggal dunia. Bapa A mempunyai sebidang tanah. Sepatutnya selepas bapa A meninggal dunia – A sebagai pewaris boleh menerima harta pusaka tersebut. Namun disebabkan A seorang bankrap – maka beliau tidak boleh mewarisi hak harta pusaka tersebut. 

17.       Contoh selanjutnya : A sebagai seorang pembeli kereta dan dibeli atas pinjaman nama A sebagai peminjam/pembeli dan isteri A iaitu B sebagai penjamin.Apabila A bankrap, B sebagai penjamin juga akan turut menjadi bankrap. 

18.     Untuk bebas bankrap  salah satu caranya adalah pembatalan kes secara automatik menurut Seksyen 33C yang membebaskan bankrap secara automatik selepas 3 tahun bankrap. Namun adakah membankrapkan diri sendiri membolehkan beliau yang bankrap boleh memohon bebas di bawah Seksyen 33C ini? Hal ini masih belum mempunyai SOP yang jelas dalam Jabatan Insolvensi. Jika Seksyen 33C tidak terpakai kepada bankrap yang membuat Petisyen Penghutang (Bankrap diri sendiri), maka beliau tidak boleh bebas selepas 3 tahun. Hal ini masih belum dijelaskan oleh mana-mana pihak. 

19.      Dalam bidang kerjaya pula, seseorang bankrap yang bekerja sebagai penjawat awam biasanya akan dikenakan tindakan tatatertib atas sebab keberhutangan yang melampau. Ini akan menyebabkan mereka tidak boleh menerima kenaikan pangkat. Mungkin Anugerah Pekerja Cemerlang – APC juga tidak boleh dicalonkan. 

20.       Jika pejawat awam yang bankrap itu bertugas dalam gred profesional atau bidang kewangan – maka beliau akan dipindahkan ke bahagian pentadbiran yang tidak melibatkan keputusan kewangan. 

21.       Untuk gred profesional seperti Doktor, Pegawai Undang-undang seperti peguam pula semuanya tidak boleh meneruskan lesen profesional mereka. Maka perlu berhenti kerja. 

22.       Manakala mereka yang bertugas dalam sektor swasta juga akan menerima kesan. Sebagai contoh jika polisi syarikat itu tidak mahu seseorang pekerja mereka terdiri daripada golongan bankrap – maka mereka yang bankrap akan diberhentikan kerja. 

23.    Manakala mereka yang bekerja dalam sektor swasta dalam bidang kewangan juga tidak boleh meneruskan kerja dalam jabatan kewangan tersebut. Perlu dipindahkan kebahagian pentadbiran yang tiada kuasa dalam membuat keputusan kewangan. 

Nasihat ikhlas saya :- 

24.    Pastikan anda mempunyai ilmu kebankrapan yang menyeluruh sebelum membuat keputusan untuk menjadi seorang bankrap dengan memohon Petisyen Penghutang (Debtor’s Petition – DP) di mahkamah. 

25.     Jika anda sebagai pembeli/peminjam utama untuk sesuatu pinjaman dan mempunyai penjamin – pastikan anda tidak menzalimi penjamin anda. Sebagai contoh jika anda bankrap – penjamin anda iaitu isteri anda tidak dibankrapkan. 

26.  Dapatkan penasihat undang-undang yang boleh menasihati anda sebelum anda membuat keputusan membankrapkan diri sendiri. 

27.   Jangan melanggar peruntukan undang-undang jika anda meneruskan keputusan untuk membankrapkan diri sendiri. 

28.     Sebagai contoh memindahkan nama aset atau harta anda 3 tahun sebelum tarikh hukuman bankrap dijatuhkan. Contoh anda bankrap pada 1 Mac 2023. Seharusnya anda tidak ada membuat pertukaran nama hartanah atau pindah milik nama kenderaan sebelum tarikh 1 Mac 2020. Iaitu lebih kurang 3 tahun sebelum tarikh jatuh hukum bankrap. Jika anda membuat pertukaran hak milik nama aset dan hartanah anda selepas 1 Mac 2020 walaupun sebelum tarikh jatuh hukum 1 Mac 2023 – ia merupakan satu kesalahan dalam akta. Anda boleh dikenakan tindakan undang-undang. 


Sekian, tamat.


Example Text

Comments
* The email will not be published on the website.