11 Jul
11Jul

KUALA LUMPUR: Penggunaan kotak android TV yang dijual secara berleluasa di platform e-dagang dan media sosial bukan sahaja menyumbang kepada isu cetak rompak digital melalui penyiaran kandungan haram, malah memudaratkan pengguna melalui pilihan 'content' dipercayai pornografi serta permainan judi atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan mahu mengambil langkah segera melalui kempen kesedaran bagi memastikan setiap isi rumah tahu keburukan penggunaan peranti tidak sah.

"Antara perkara yang kita putuskan pada mesyuarat hari ini (kelmarin) adalah untuk mempromosikan kempen kesedaran mengenai bahaya penggunaan kotak android tidak sah ini.

"Sebagai ibu bapa, sudah semestinya kita tonton bersama keluarga di rumah. Kita hendak pastikan seluruh isi rumah tahu peranti ada kandungan bahan tidak ditapis termasuk bahan lucah dan permainan judi dalam rumah mereka.

"Apabila kempen itu dilaksanakan, ia akan menimbulkan kesedaran kepada semua pihak mengenai keburukan dan bahaya peranti haram itu kepada keluarga dan masyarakat.

"Kalau tiada kawalan, sesiapa sahaja yang ada di rumah termasuk kanak-kanak boleh akses tanpa sekatan," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Azmir mempengerusikan mesyuarat membincangkan isu cetak rompak digital bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) diwakili Ketua Aktivis, Datuk Nadzim Johan di Kompleks FINAS, Hulu Klang, kelmarin.

Azmir berkata, FINAS bersama rakan strategik akan menggunakan pelbagai saluran bagi memastikan kempen kesedaran penggunaan kotak android TV secara haram, mencapai objektif.

"FINAS bersama Altimet dan PPIM akan mempromosikan kempen kesedaran dalam skala yang lebih besar.

"Antaranya adalah dengan mengadakan pengumuman khidmat masyarakat. Kita akan minta bantuan Altimet menjadi jurucakap. Kita akan sebar melalui televisyen (TV), media sosial dan pawagam.

"Peranan PPIM pula membantu FINAS. Sebelum ini, PPIM pernah hasilkan kandungan isu cetak rompak dan masalah dalaman industri kreatif melalui FINAS dan Kementerian Komunikasi.

"Selain bantu kita hebahkan mesej ini kepada orang ramai, PPIM ada pengalaman untuk menangani isu seumpama itu," katanya.

Azmir mempengerusikan mesyuarat membincangkan isu cetak rompak digital bersama Altimet Nadzim di Kompleks FINAS, Hulu Klang, kelmarin. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Azmir berkata, FINAS akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan sebuah syarikat pengendali e-dagang bagi membincangkan isu cetak rompak membabitkan platform terbabit.

"Sebagai permulaan, bahagian pelesenan FINAS akan bertemu pihak terbabit. Kebetulan, kami dapat aduan platform berkenaan didakwa menjual pemacu pena mengandungi filem dan muzik yang dimuat naik secara haram.

"Kami ingin bertanya apa peranan dan tindakan yang mereka lakukan untuk mengekang cetak rompak digital.

"Saya percaya dalam organisasi mereka, pasti ada perancangan untuk mengurangkan isu begini.

"Kalau boleh kami hendak kongsi dan dapatkan perkembangan terbaharu mengenainya. Dengan adanya perkembangan teknologi, saya fikir dari semasa ke semasa mereka sudah tahu corak pengguna.

"Melalui maklumat inilah yang kita akan tanya kepada pengendali e-dagang terbabit adakah mereka sedar mengenai isu cetak rompak.

"Apakah dengan data yang diperoleh itu, mereka akan tangani isu ini atau tutup sebelah mata sahaja," katanya.

Altimet berkata, kempen kesedaran penggunaan kotak android TV secara haram perlu menerap semangat jati diri, iaitu rasa bangga menyokong karya tempatan selain berdosa jika mencuri hasil titik peluh orang lain.

"Kita buat orang rasa bangga kalau tonton atau strim muzik secara sah. Ini suatu perbuatan yang boleh dibanggakan.

"Di negara jiran kita, mereka bangga dengan karya lokal. Malah, ada antara golongan T20 di sana bayar lebih untuk artis tempatan sebagai penghargaan.

"Kalau orang kita tidak 'layan' benda-benda haram seperti ini, sebenarnya, tidak perlu undang-undang pun. Apa yang penting, ubah cara kita berfikir.

"Satu cara lagi untuk membangkitkan kesedaran adalah majoriti kita orang Islam. Ada disebut dalam khutbah, cetak rompak ini sama seperti mencuri di mana perbuatan itu berdosa.

"Kita boleh berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menjelaskan perkara ini," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

FINAS, ALTIMET, PPIM TANGANI CETAK ROMPAK DIGITAL

https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/07/1269736/finas-altimet-ppim-tangani-cetak-rompak-digital

Comments
* The email will not be published on the website.