KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) digesa memantau kegiatan syarikat pengutip hutang yang bertindak tidak mengikut garis panduan ditetapkan, termasuk melakukan gangguan berterusan sehingga menjejaskan hak dan kesihatan mental penghutang.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan menerima banyak aduan berhubung isu ini dan ramai antara mereka tidak mengetahui hak mereka menyebabkan pengutip hutang melakukan tindakan melampaui batas.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pengutip hutang sewenang-wenangnya bertindak mengugut mangsa tanpa mempertimbangkan usaha mereka dalam menyelesaikan hutang berkenaan.
"Walaupun had kebankrapan sudah dinaikkan, pihak pemungut hutang tidak mempedulikan undang-undang itu, malah mengugut untuk melelong harta yang bukan milik mangsa.
"PPIM menggesa pihak berkuasa agar bertindak lebih tegas dan memastikan syarikat yang membeli fail hutang lapuk daripada institusi perbankan dikawal selia dan dipantau mengikut peruntukan undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dua mangsa pengutip hutang yang tampil membuat aduan kepada pihak PPIM di sini, hari ini.
Nadzim berkata, pihak bank tidak sewajarnya lepas tangan selepas 'menjual' akaun penghutang yang mempunyai tunggakan hutang kepada pihak ketiga.
"Bank seolah-olah lepas tangan dan syarikat pengutip hutang pula seperti bebas melakukan apa sahaja untuk mendesak penghutang membayar hutang mereka termasuk melakukan ugutan.
"Kita minta BNM atau kementerian berkaitan untuk menangani situasi ini dalam keadaan rakyat sekarang semakin tertekan akibat pelbagai isu seperti COVID 19 dan keadaan ekonomi sekarang," katanya.
Katanya, BNM wajar melihat dengan lebih mendalam isu ini dengan memastikan syarikat pengutip hutang mematuhi panduan ditetapkan serta dilakukan berlandaskan akta-akta yang dikuatkuasakan.
Menurut mangsa yang mahu dikenali sebagai Saharah, 40-an, dia kini hidup dalam keadaan tertekan selepas didatangi pengutip hutang mahu melelong rumah dan barangan dalam kediaman keluarganya, baru-baru ini.
"Mereka cari saya di pejabat bekas majikan dan berjumpa dengan bekas rakan sekerja dan pihak sumber manusia serta bekas suami, bercakap mengenai hutang saya. Semua orang jadi tahu mengenai masalah saya dan ini menyebabkan saya malu.
"Mereka kemudian datang bawa notis mahkamah mahu melelong barangan dan kediaman saya sedangkan kediaman itu bukan atas nama saya, ia milik keluarga. Saya amat tertekan dengan perkara ini dan terpaksa rujuk kepada PPIM untuk bantuan," katanya.
Saharah berkata, dia membuat pinjaman peribadi RM100,000 dengan sebuah bank pada 2006 untuk membiayai perubatan ibunya yang menderita kanser dan perbelanjaan lain sebelum ibunya meninggal dunia pada 2011.
Katanya, beliau berhenti membayar pinjaman sejak 2015 kerana terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ayahnya yang mengidap kanser prostat dan sejak itu tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman.
Dia kini dimaklumkan oleh syarikat pengutip hutang bahawa tunggakan hutangnya meningkat kepada RM226,000.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Nurul Afienee Kemaru, 41, berkata dia membuat pinjaman peribadi berjumlah RM38,000 pada 2013 dan kini perlu membayar tunggakan berjumlah RM55,000.
"Saya gagal bayar pinjaman sejak 2018 selepas ibu saya meninggal dan saya pula terpaksa berhenti kerja di sektor perbankan kerana beberapa masalah dan sehingga kini masih belum bekerja.
"Pada awal Jun lalu, saya didatangi pengutip hutang menghantar notis mahkamah untuk menyita barangan dalam rumah, tapi bila saya minta salinan notis, mereka enggan beri.
"Saya pergi ke mahkamah tetapi pihak mahkamah maklumkan bahawa tiada notis sita dikeluarkan pihak mahkamah terhadap saya. Ini menunjukkan pengutip hutang itu hanya mahu mengugut saya menggunakan notis mahkamah," katanya.
Menurut kedua-dua mangsa, mereka bersedia untuk membayar semula hutang berkenaan sekiranya pihak bank mahu menjalankan rundingan untuk pembayaran semula dan bukan dengan syarikat pengutip hutang yang memanipulasi situasi mereka.
Artikel oleh: Berita Harian
BNM WAJAR PANTAU AKTIVITI PENGUTIP HUTANG - PPIM