KUALA LUMPUR : Satu peraturan khusus perlu dikuatkuasakan kepada peniaga, penjual atau penyedia platform e-dagang, sama ada untuk menyekat atau melabelkan klasifikasi barangan yang diniagakan dengan lebih ketat.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, lambakan penjualan secara terbuka barangan terlarang yang ditawar kepada masyarakat, secara dalam talian dibimbangi boleh merosakkan moral masyarakat dan mewujudkan lebih banyak masalah sosial yang menyumbang kepada kes jenayah.
“Masalahnya adalah kegagalan pihak penguatkuasa, kerajaan dan kementerian berkaitan kerana ambil mudah untuk melindungi, pantau serta kawal dengan lebih ketat perkara sebegini. Kerana yang terpengaruh adalah generasi anak-anak muda kita. Mesti ada undang-undang yang mengawal selia proses urusan jual beli dari permulaannya. Barang-barang ini masuk terlalu bebas ke dalam negara kita.
Kerajaan perlu bertegas terhadap mereka yang menjual” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Tambahnya, pembelian dalam talian didakwa sangat terbuka dan tiada kawalan serius daripada pihak berkuasa untuk menapis terutamanya barangan senjata bahaya dan alat permainan seks.
Justeru katanya, semua pihak digesa supaya bekerjasama dalam memantau kegiatan perniagaan sedemikian sekali gus membendung peningkatan aktiviti jenayah di masa hadapan.
Baru-baru ini tular, seorang pengguna yang mendedahkan mengenai alat mainan dewasa yang dijual menerusi dalam talian, berupa patung seks menyerupai badan kanak-kanak.
Berikutan itu, penyedia platform e-dagang berkenaan telah mengambil tindakan terhadap beberapa iklan yang dilaporkan.
Artikel oleh: Buletin TV3
PERATURAN KHUSUS PERLU DIKUATKUASAKAN, TINDAKAN KEPADA PENYEDIA PLATFORM, PENJUAL DAN PELANGGAN - PPIM