23 Jun
23Jun

KUALA LUMPUR 23 Jun - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan segera melaksanakan program subsidi petrol bersasar bagi memastikan tiada hasil negara yang 'dirompak' secara terbuka.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, setiap hari pengguna melaporkan kes kenderaan negara jiran mengisi petrol bersubsidi di negeri-negeri berhampiran sempadan negara.

Katanya, lebih mengejutkan kes terbaru yang melibatkan seorang penghantar barang dan makanan digantung tugas kerana merakam dan menularkan perbuatan biadab warga asing yang cuba mengisi minyak petrol bersubsidi ke dalam tong.

"Bukan sahaja tidak ada tindakan langsung dari Kerajaan Malaysia terhadap pelaku, malah warganegara yang setia mempertahankan hak negara dipersalahkan dan digantung kerja sehingga menjejas pendapatannya, di mana maruah kita sebagai sebuah negara?

"Adakah pihak berwajib kita sudah tidak ada rasa sayang dan cintakan negara lagi? Bersusah payah barisan hadapan negara menjaga keamanan negara, warga asing boleh suka-suka merompak harta kita," katanya dalam kenyataan media di sini.

Sebelum ini tular di media sosial, video yang memaparkan seorang lelaki penghantar makanan dan barangan menegur dua lelaki dipercayai warga asing mengisi petrol bersubsidi R0N95 ke dalam tong.

Namun, tindakan lelaki itu telah mencetus pertengkaran mulut antara mereka dan di dalam video tersebut salah seorang daripada lelaki itu mengeluarkan besi dipercayai untuk mengugut pengadu.

Datuk Nadzim Johan

Datuk Nadzim Johan

Pihak polis bagaimanapun berkata kejadian itu satu salah faham kerana warga asing tersebut mengisi minyak untuk kenderaan jenis go-kart. Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat AriffIn berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Sunway Box pada jam 8.37 malam, 16 Jun 2023. 

Nadzim mempersoalkan sama ada itu dibenarkan dan bagaimana untuk memastikan warga asing tidak menyeludup petrol bersubsidi itu keluar negara. - DagangNews.com

Artikel oleh: DagangNews

PPIM GESA KERAJAAN SEGERA LAKSANA PROGRAM SUBSIDI PETROL BERSASAR UNTUK ELAK KETIRISAN

https://www.dagangnews.com/article/ppim-gesa-kerajaan-segera-laksana-program-subsidi-petrol-bersasar-untuk-elak-ketirisan-27699

Comments
* The email will not be published on the website.