SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menimbulkan kegusaran selepas dilihat ‘mesra’ agenda liberal yang mampu mengelirukan masyarakat umum terutamanya orang Islam.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terdiri daripada PEMBELA, PPMM, MACSA yang turut mewakili 100 organisasi lain menzahirkan kerisauan apabila SUHAKAM lebih terlibat dalam advokasi Hak Asasi Manusia (HAM).
Menurut Wakil NGO Islam Lukman Sheriff, meskipun berpegang kepada konsep Hak Asasi Manusia (HAM), SUHAKAM terlebih dahulu perlu memastikan sesebuah ‘hak asasi’ tidak membelakangi Perlembagaan negara.
“Pada setiap masa HAM mestilah berlandaskan Perlembagaan sepertimana termaktub dalam Akta SUHAKAM. Ini berbeza dengan pendekatan SUHAKAM sebelum ini yang dilihat oleh masyarakat seperti mengiktiraf HAM acuan Barat secara bulat-bulat kerana menganggap semua yang diformulasikan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu sebagai sesuatu yang bersifat “universal”.
“Kami menolak cadangan meratifikasikan secara pukal konvensyen-konvensyen yang tidak mengambil kira peruntukan Perlembagaan Malaysia seperti ICERD dan kajian untuk mengiktiraf jantina ketiga yang dipelopori SUHAKAM sebelum ini.
“SUHAKAM mestilah pada setiap waktu berpaksikan kepada Akta SUHAKAM dan Perlembagaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
SUHAKAM juga perlu ‘bebas’ daripada dana luar agar dilindungi daripada kepentingan kuasa asing mempergunakan SUHAKAM bagi manfaat dan agenda mereka.
“Kami melihat kemelut dalam SUHAKAM turut berpunca dari dana European Union (EU). Tuduh menuduh dan pertikaian timbul akibat pihak tertentu mahu mengawal dana tersebut.
“Kami mengambil maklum bahawa penerimaan dana asing ini berlaku dari dahulu lagi,” jelasnya.
Tegas NGO-NGO Islam ini, adalah lebih baik dana tersebut dipulangkan walaupun bagi tujuan pendidikan dan kesedaran demi menjamin kebebasan SUHAKAM.
“Adalah lebih baik bagi kami dana tersebut dipulangkan walaupun bagi tujuan pendidikan dan kesedaran demi menjamin kebebasan SUHAKAM.
“Selain itu butir penerimaan dana asing oleh SUHAKAM sebelum ini dan siapa yang mendapat manfaat dari dana tersebut patut diumumkan secara terbuka,” tegas beliau, lapor SatuBerita.
Kumpulan NGO itu turut berharap SUHAKAM terus kekal menjadi lebih inklusif dengan melibatkan suara orang Islam dalam advokasi hak asasi manusia yang akan datang.
Artikel oleh: Warta Rakyat
SUHAKAM PERLU PATUH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, TOLAK ACUAN BARAT - NGO