KUALA LUMPUR – Kemelut melanda Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) didakwa berpunca daripada penerimaan dana asing dari Kesatuan Eropah (EU).
Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff berkata penerimaan dana asing itu menyebabkan berlaku konflik dalam suruhanjaya tersebut kerana wujud pihak yang ingin mengawal dana diterima.
Katanya, penerimaan dana asing itu berlaku sejak dahulu lagi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Seksyen 19 Akta SUHAKAM melarang suruhanjaya itu daripada menerima sebarang dana asing kecuali bagi tujuan pendidikan dan kesedaran.
“Akta ini diadakan bagi melindungi SUHAKAM dari kepentingan kuasa asing yang cuba untuk mempergunakan SUHAKAM bagi manfaat mereka.
“Adalah lebih baik bagi kami, dana tersebut dipulangkan walaupun bagi tujuan pendidikan dan kesedaran demi menjamin kebebasan SUHAKAM,” katanya pada sidang media gabungan NGO Islam berkenaan isu SUHAKAM di rumah Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini.
Beliau berkata butiran penerimaan dana asing oleh SUHAKAM sebelum ini dan siapa yang mendapat manfaat dari dana itu juga perlu diumumkan secara terbuka.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto sebelum ini dilaporkan berkata, “Konsep hak asasi manusia ikut acuan tempatan adalah malapetaka”.
Ia susulan kenyataan Profesor Datuk Rahmat Mohamad selepas pelantikan pakar undang-undang Malaysia yang juga profesor undang-undang dari UiTM itu, sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Artikel oleh: The Merdeka Times
PENERIMAAN DANA ASING EU PUNCA KEMELUT SUHAKAM
https://themerdekatimes.com/news/2023/06/penerimaan-dana-asing-eu-punca-kemelut-suhakam/