Kuala Lumpur: Seramai 150 individu yang mendakwa tidak dapat menunaikan umrah seperti dijanjikan Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) tampil membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi menyelesaikan kemelut itu yang masih berlarutan.
Setiausaha Kerja PPIM Zharif Johor berkata, jumlah aduan itu diterima pihaknya bagi tempoh sepanjang bulan lalu membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM1.5 juta.
"Kita anggarkan jumlah kerugian dialami mangsa membabitkan agensi ini adalah lebih besar kerana ada dalam kalangan jemaah yang menempah pakej platinum berharga puluhan ribu bagi setiap seorang.
"Susulan itu, kita tampil bagi membantu mangsa teraniaya yang bukan saja tidak dapat menunaikan umrah, malah tidak mendapat semula bayaran yang dikemukakan kepada agensi itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas mempengerusikan perbincangan bersama 180 mangsa penipuan umrah oleh syarikat itu menerusi aplikasi Zoom, semalam.
Zharif berkata, dalam perbincangan itu yang turut disertai Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat itu, pihaknya memberi taklimat mengenai kes berkenaan selain terdapat sesi soal jawab dan pengalaman yang dikongsi mangsa bagi mendapatkan pembelaan.
"Kita kesal dengan apa yang menimpa jemaah ini apabila mereka yang terkandas tidak mendapat pembelaan dengan bayaran semula tidak diterima sehingga kini sedangkan ada antara mangsa kehilangan ahli keluarga sepanjang tempoh menunggu untuk berangkat menunaikan umrah.
"Malah, ada mangsa yang mahukan bayaran semula kerana hilang kepercayaan, namun masih belum menerima bayaran. Ada yang dapat tarikh baru penerbangan, namun tarikh yang diletakkan dibuat tanpa perbincangan dengan jemaah," katanya.
Susulan itu, pihaknya menasihatkan supaya mereka tampil membuat laporan kepada pihak polis, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan pihak lain yang berkaitan bagi menyelesaikan isu ini.
"Pada masa sama, PPIM juga akan mendesak Emraz supaya memaklumkan solusi yang akan diberikan kepada mangsa yang bukan hanya sekadar janji di mulut dan harus ada jaminan termasuk cagaran kerana mangsa sudah menunggu lama.
"Dalam kes ini, PPIM menyediakan perkhidmatan percuma kepada semua mangsa yang tampil membuat aduan sebagai salah satu tanda sokongan kami mengatasi masalah seumpama ini yang berlaku setiap tahun sekali gus menyebabkan kegusaran dalam kalangan bakal jemaah umrah.
"Ini kerana mereka boleh menjadi mangsa meskipun membuat tempahan dengan syarikat berdaftar. Justeru itu, kita meminta supaya pihak berkuasa memantau isu ini bagi mengelak ia berulang semula kerana masyarakat sudah jelak dengan masalah ini," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
'KAMI MAHUKAN KEADILAN, KEMBALIKAN SEMULA WANG'
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/06/973056/kami-mahukan-keadilan-kembalikan-semula-wang