24 May
24May

PETALING JAYA: Cadangan pindaan Kanun Tatacara Jenayah untuk membanteras jenayah penipuan dalam talian (scam) disifatkan langkah yang sangat efektif dan proaktif.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, proses sedia adabagi mendapatkan semula wang yang ditipu, boleh memakan masa yang sangat lama, malah ramai yang berputus asa untuk mendapatkan semula wang berikutan perlu melalui proses yang sukar.

“Biasanya duit (yang ditipu) ini bertahun-tahun nak bawa keluar,walaupun dah dapat balik, proses dia sukar, usaha untuk memberi kemudahan kepada rakyat ni memang kita harapkan supaya mangsa mendapat balik wang mereka secepat mungkin.”

Katanya lagi, ada juga segelintir mangsa sehingga melalui tekanan melampau, kerana terpaksa meneruskan kehidupan dengan simpanan yang sedikit, selepas ditipu.

Melalui pindaan Kanun Tatacara Jenayah, ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mangsa untuk mendapatkan semula wang yang telah ditipu, dalam kadar segera.

Bagaimanapun ujarnya, isu keldai akaun juga perlu diberi perhatian kerana ada segelintir daripada mereka juga menjadi mangsa kepada penipuan.

“Kadang-kadang dia juga tidak tahu, jadi perkara ini perlu dikaji supaya dapat memberi keadilan sebaik mungkin kepada mangsa (keldai akaun).”

Peguamcara dan peguambela, Nor Zabetha Muhamad Nor 

Sementara itu, Peguamcara dan peguambela, Nor Zabetha Muhamad Nor menganggap undang-undang sedia ada, wajar dipinda, seiring dengan teknologi yang semakin berkembang.

Selain bertujuan mempercepatkan proses mendapatkan wang yang telah ditipu, pindaan ini juga dilihat dapat membanteras kes penipuan dalam talian, daripada terus berleluasa.

“Scammer ni lebih bijak, setiap kali mereka datang dengan idea scam yang baharu, dan kemudian polis dapat kenalpasti modus operandi, dia nak ‘freeze’ nombor akaun, nak kena dapatkan perintah daripada mahkamah, ataupun perlu ikutprosedur tertentu, sehingga waktu nak banteras dia dah hilang jejak. Bila ada satu pindaan yang dibuat yang membanteras secara efektif dan segera, maka ianya sangat baik dan menjadi satu alternatif kepada mangsa untuk mendapatkan wang yang telah ditipu.”

“Bayangkan pindaan Kanun Tatacara Jenayah ni memberi kuasa kepada pihak polis, apabila ada laporan yang telah dibuat oleh mangsa, pihak polis kenal pasti nombor akaun, pergi kepada pihak bank dan terus memberikan arahan untuk bekukan akaun (scammer)”, katanya.

Tambahnya, pindaan Kanun Tatacara Jenayah ini juga dapat memberi perlindungan kepada mangsa yang digunakan sebagai keldai akaun.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, kerajaan memutuskan untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian (scam) dipulangkan lebih awal kepada mangsa.

Perkara itu dimaklum  Perdana Menteri ketika menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berhubung langkah kerajaan untuk mempercepatkan proses pemulangan dana yang dicuri kepada mangsa penipuan dalam talian.

Artikel oleh: Buletin TV3

PINDAAN KANUN TATACARA JENAYAH KEMBALIKAN KEADILAN KEPADA MANGSA PENIPUAN DALAM TALIAN

https://www.buletintv3.my/nasional/pindaan-kanun-tatacara-jenayah-kembalikan-keadilan-kepada-mangsa-penipuan-dalam-talian/

Comments
* The email will not be published on the website.