08 May
08May

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan serius terhadap isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meneroka tanah dan membina penempatan haram di negara ini supaya masa depan generasi seterusnya tidak tergadai.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, isu kebanjiran PATI, penerokaan tanah dan penempatan haram secara umumnya sudah kerap kali dilaporkan media, namun, tetap tiada tindakan menyeluruh diambil oleh pihak berwajib.

Menurutnya, jika sikap sambil lewa tersebut menjadi amalan oleh pihak berkuasa, hasil kekayaan negara pastinya dirompak oleh warga asing pada masa depan.

“Apabila isu sebegini disuarakan, kita nampak dalam kerajaan khususnya badan penguat kuasa terdapat kelompangan, contohnya seperti isu pasar borong dan kawasan terpencil yang dikuasai kumpulan tertentu.

“Ia seolah-olah melangkaui kuasa sedia ada pihak penguatkuasaan negara dan dalam isu ini seperti ada pihak tertentu membiarkan perkara tersebut tanpa kawalan.

“Kerajaan hari ini sepatutnya membuka mata dalam isu ini dan mengambil tindakan tegas, jika benar kawasan tersebut diceroboh ambik tindakan keras terhadap mereka. Jangan biarkan kumpulan berkenaan buat sesuka hati di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan Utusan Malaysia berkaitan dakwaan bahawa Pulau Meranti di Puchong, Selangor kini menjadi lokasi tumpuan PATI membina penempatan haram dan kebun sayur di kawasan berkenaan.

Warga asing di lokasi tersebut didakwa mensasarkan kawasan sekitar grid elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membina penempatan dengan dikelilingi oleh kebun tanaman sayuran.

Mengulas lanjut, Nadzim mempersoalkan bagaimana lokasi tersebut tidak diketahui oleh semua pihak sedangkan kawasan penerokaannya agak luas.

“Tak masuk akal jika alasan mereka kawasan tersebut dibina di lokasi terpencil sedangkan tapak berkenaan agak luas. Takkanlah boleh terlepas pandang?

Tegasnya, kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan dalam menangani isu tersebut tanpa mengambil kira siapa dalang sebenar di sebalik penerokaan tersebut kerana ia tidak adil bagi semua pihak.

“Tak kira siapa pun yang mendalanginya, kerajaan dan pihak penguatkuasa harus tegas mengambil tindakan. Jika benar kawasan tersebut tapak haram ia tidak adil kepada orang lain.

“Jika isu tersebut tidak dipandang serius kita bimbang hal sama akan berlaku di tempat lain pula dan akhirnya masa depan negara tergadai,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

KERAJAAN PERLU SERIUS TANGANI ISU PATI

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/05/kerajaan-perlu-serius-tangani-isu-pati-di-pulau-meranti/

Comments
* The email will not be published on the website.