02 May
02May

KUALA LUMPUR: Ada kemungkinan wujud ‘tangan ghaib’ dalam kerajaan yang membiarkan produk mengandungi bahan beracun dan merisiko kesihatan masyarakat terus membolosi pasaran negara.

Malah, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, pihak-pihak yang terlibat termasuk kementerian berkaitan perlu membuktikan keinginan untuk menyekat produk-produk ini dan membuktikan produk demikian tidak akan dijual lagi.

“Nafikan sekiranya tiada ‘tangan ghaib’ yang mencampuri isu produk kosmetik yang tidak selamat digunakan ini kerana sudah saban tahun, terlalu banyak tangkapan dilakukan, namun isu ini tidak pernah selesai.

“Hal ini perlu dihentikan dengan kerjasama merentas kementerian supaya produk-produk kosmetik yang memasuki pasaran negara selamat digunakan oleh rakyat kita.

“Wujudkan task force juga untuk memantau selain mengenal pasti kumpulan-kumpulan yang terus menjadi dalang kepada kemasukan produk merbahaya ini. Tindakan tegas perlu diambil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 136,518 pelbagai pil dan krim yang mengandungi barang terlarang boleh memudaratkan pengguna.

Difahamkan, produk yang dirampas dalam tempoh 2018 hingga Februari lalu meliputi 47,466 barangan kesihatan manakala 89,052 lagi barang kosmetik yang ke semuanya bernilai RM3.84 juta.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata kesedaran masyarakat berhubung penggunaan kosmetik mengandungi bahan berisiko dan beracun masih rendah.

“Ini bukan isu baru namun sehingga hari ini ia masih berlanjutan kerana rakyat kita sendiri memilih untuk menggunakan produk demikian dengan mengetepikan keselamatan diri masing-masing.

“Kalau kita tengok, produk kosmetik terutamanya yang mendapat sambutan kerana standard kecantikan yang diuar-uarkan itu menjadi ‘kegilaan’ rakyat kita. Ini sebabnya penting untuk kita mendidik rakyat kita berhubung perkara ini.

“Selain daripada kesedaran mengenai isu-isu lain, rakyat kita juga perlu dipupuk untuk mengutamakan keselamatan menggunakan produk-produk kesihatan,” ujarnya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

'TANGAN GHAIB' PUNCA PRODUK BERACUN BERLELUASA

https://www.utusan.com.my/berita/2023/05/tangan-ghaib-mungkin-punca-produk-beracun-berleluasa/

Comments
* The email will not be published on the website.