18 Apr
18Apr

KUALA LUMPUR, April 12 - Tidak masuk akal! Itu yang dihadapi seorang lelaki yang perlu membayar caj penarikan dan penyimpanan kereta sebanyak RM16,000 walaupun bayaran tertunggak berjumlah RM3,200 sudah dilunaskan pada hari yang sama.

Pada kejadian 31 Mac baru-baru ini, arahan penarikan kereta mangsa oleh syarikat pinjaman berlesen itu didakwa dibuat tanpa mengikut lunas undang-undang yang mana mangsa sudah pun membayar lebih 85 peratus pinjaman kenderaan.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Haris, 37, berkata, isterinya didatangi 4 individu daripada syarikat berkenaan ketika ingin mengambil ketiga-tiga anak mereka daripada sekolah.

“Kereta terus dirampas oleh 4 individu tidak dikenali itu di hadapan anak kami.

“Kemudian saya segera menghubungi syarikat pinjaman itu untuk menyelesaikan tunggakan dan membayarnya pada hari yang sama.

“Namun, apa yang mengejutkan syarikat itu menuntut saya membayar kos tidak masuk akal berjumlah lebih RM16,000 untuk membolehkan kereta saya dilepaskan dari simpanan mereka,” katanya pada sidang media di Pejabat PPIM di sini, hari ini.

Menurut Haris, tunggakan dua bulan kereta itu sepatutnya berjumlah RM2,400 sahaja namun diberitahu terdapat caj faedah dikenakan menjadikan jumlah tunggakan bertambah sehingga RM3,200.

Jelasnya, dia membayar sebanyak RM3,600 dan cuba berbincang dengan pihak syarikat, namun mereka berkeras untuk menahan kereta tersebut sehingga bayaran penuh termasuk caj penyimpanan, caj penyerahan, caj pengambilan semula serta caj-caj lain berjumlah RM16,000 dijelaskan.

“Saya berasa teraniaya dengan caj tidak masuk akal dikenakan syarikat itu sedangkan ansuran kereta hanya tinggal setahun sahaja untuk diselesaikan.

“Sehingga hari ini, status kereta itu tidak jelas dan tidak tahu ditempatkan di mana. Syarikat enggan bertolak ansur walaupun tunggakan sudah dijelaskan lebih daripada yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kes tersebut bukti jelas pihak syarikat pemberi pinjaman sewenang-wenangnya mengenakan cas dan menekan pengguna dengan kos yang tidak munasabah.

Susulan itu, PPIM menggesa pihak berwajib yang diamanahkan dan kerajaan supaya dapat memantau tekanan yang dikenakan keatas pengguna.

“Saya difahamkan syarikat ini berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan bagi memberikan pinjaman kepada pengguna.

“Namun, syarikat terbabit didapati menganiaya pengguna dengan mengenakan caj tersorok yang tidak munasabah dan penarikan kereta juga dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan mengikut Akta Sewa Beli 1967,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat memantau pengstrukturan transaksi oleh syarikat pinjaman berlesen di bawah KPKT bagi mengelakkan penipuan dan penindasan terhadap peminjam.

“Yang jadi persoalan sekarang, siapa yang bertanggungjawab dan tetapkan kos simpanan sehingga RM5,000, siapa boleh beri justifikasi?

“Jadi kita akan hantar surat tuntutan (LOD) dan buat laporan polis susulan isu ini kerana apa yang berlaku itu adalah satu bentuk penindasan dan penganiayaan nyata” katanya.

Artikel oleh: Xklusif

HUTANG KERETA TERTUNGGAK RM3,200 TIBA-TIBA JADI RM16,000

https://xklusif.my/detail/4416

Comments
* The email will not be published on the website.