13 Apr
13Apr

Kuala Lumpur: Kerana tunggakan pinjaman kenderaan sebanyak RM3,200, seorang lelaki kini terpaksa menanggung beban hutang lebih RM16,000 yang dikenakan syarikat pinjaman berlesen.
Mangsa dikenali Haris, 37, berkata, jumlah itu susulan caj tidak masuk akal dikenakan susulan penarikan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu yang dibelinya atas nama isteri.

Dia sebelum ini membuat pinjaman dengan syarikat berkenaan untuk membeli sebuah SUV dan bayaran bulanan tertunggak yang menyebabkan kenderaan itu ditarik pada 31 Mac lalu.

"Pada hari kejadian, isteri memandu SUV itu untuk mengambil anak di sekolah sebelum didatangi empat kakitangan syarikat berkenaan. Dua daripadanya mengetuk cermin kenderaan dan menunjukkan surat tarik kerana dakwa ada tunggakan bayaran.

"Isteri terus menghubungi saya yang ketika itu ada di tempat kerja. Hampir setengah jam juga saya cuba berunding dengan mereka, namun mereka berkeras untuk menarik kereta," katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Haris berkata, kakitangan syarikat itu menghantar isteri dan anaknya pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum membawa pergi SUV itu yang kini tidak diketahui di mana lokasi penyimpanannya.

Apa yang dikesalkannya adalah jumlah tunggakan pinjaman yang bermula RM2,400, meningkat kepada RM3,200 kerana faedah, sebelum menjadi RM16,000 jika mahu menuntut SUV itu.

Haris berkata, dia sudah membayar RM3,600, lebih RM400 daripada kadar tunggakan pada jam 4 petang hari kejadian, dengan harapan dapat mengambil semula kenderaan berkenaan.

"Namun, Syarikat enggan kompromi malah menuntut saya membuat bayaran penuh RM16,000 untuk ambil kenderaan, yang termasuk faedah, caj simpanan, caj pengambilan dan penghantaran semula.

"Masalahnya, kos simpanan saja mencecah RM5,000, manakala RM3,500 pula untuk penghantaran semula. Sebagai pengguna, saya tidak bersetuju mereka tarik kenderaan, apatah lagi sudah membayar 85 peratus daripada keseluruhan pinjaman yang berbaki setahun lagi," katanya yang membuat perjanjian sewa beli untuk tempoh tujuh tahun.

Menurutnya, dia mengadukan perkara itu kepada PPIM untuk khidmat nasihat dan langkah selanjutnya yang perlu diambil, sebelum melaporkannya kepada polis.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menyifatkan tindakan syarikat terbabit keterlaluan kerana mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

"Tindakan itu menunjukkan kebiadaban institusi kewangan kerana menurut Akta Sewa Beli 1967, perlu ada perintah mahkamah sebelum penarikan kereta dibuat, sekiranya 85 pinjaman sudah dilangsaikan.

"Persoalannya siapa yang bertanggungjawab dan tetapkan kos simpanan sehingga RM5,000, siapa boleh beri justifikasi?

"Jadi kita akan hantar surat tuntutan (LOD) dan buat laporan polis susulan isu ini kerana apa yang berlaku itu adalah satu bentuk penindasan," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

TUNGGAK RM3,200, CAJ LEPAS KENDERAAN RM16,000

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/04/956113/tunggak-rm3200-caj-lepas-kenderaan-rm16000

Comments
* The email will not be published on the website.