10 Apr
10Apr

Kuala Lumpur: Peniaga mendakwa mengenakan caj pemotongan ayam bagi mengelak keuntungan kecil kerana mereka turut dikenakan caj penghantaran oleh pemborong.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mendapati caj perkhidmatan iaitu sekitar 60 sen sehingga RM1 dikenakan peniaga terhadap pengguna bagi seekor ayam.

"Apabila ditanya, peniaga ayam mendakwa mereka terpaksa mengenakan caj untuk potong ayam disebabkan mereka pun dikenakan caj penghantaran oleh pemborong sehingga menyebabkan untung mereka menjadi kecil.

"Kalau ayam itu dijual contohnya seekor dengan seberat 1.7 kilogram (kg). Jadi ayam itu yang sepatutnya berharga kira-kira RM16.40 akan menjadi RM17 sebab 60 sen dikenakan caj perkhidmatan dan ada juga yang caj lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, tindakan peniaga ayam kini seolah-olah menormalisasikan caj potong ayam antara 60 sen hingga lebih RM1 untuk pelanggan dengan alasan cuba menampung kerugian.

Beliau berkata, sedangkan kerajaan sudah menetapkan harga siling ayam RM9.40 sekilogram dan apabila dikenakan caj memotong ayam secara automatik harganya meningkat sehingga menyebabkan pengguna merungut.

"Pihak penguatkuasaan kena turun padang dan pantau apa yang sedang berlaku di lapangan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

"Kalau tengok harga pemborong sekarang ini adalah sekitar RM8.70 ke RM8.90 sekilogram dan peniaga ayam dicaj pula kos penghantaran oleh pemborong yang sebelum ini caj itu tidak dikenakan kepada mereka.

"Jadi peniaga ayam ini mendakwa mereka juga terbeban. Oleh itu kita harap pihak berkuasa pantau perkara ini dan cuba selesai," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan turut meminta supaya kerajaan memantau perkara itu daripada terus berlarutan hingga membebankan pengguna.

"Memanglah tidak wajar kenakan caj potong ayam tetapi peniaga juga untung sangat kecil.

"Agensi kerajaan berkaitan kurang berfungsi seperti yang sudah diamanahkan sebaliknya banyak mengikut telunjuk kartel yang mengawal pasaran.

"Ia tidak boleh dibiarkan kerana pasti ia akan menjadi sesuatu keadaan yang tidak terkawal pada satu masa nanti," katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan pengguna mengeluh apabila peniaga ayam mengenakan caj pemotongan serta mempersoalkan kewajarannya ketika bekalan bahan makanan itu didakwa tidak berdepan masalah.

Tinjauan Harian Metro di pasar basah sekitar ibu kota menunjukkan rata-rata peniaga ayam meletakkan caj pemotongan antara 60 sen sehingga RM1.10.

Artikel oleh: Harian Metro

CAJ POTONG AYAM SEBAB PEMBORONG CAJ PENGHANTARAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/04/954979/caj-potong-ayam-sebab-pemborong-caj-penghantaran

Comments
* The email will not be published on the website.