07 Apr
07Apr

Kuala Lumpur: Lebih 20 along wanita dikesan aktif mengumpan mangsa untuk membuat pinjaman di ibu negara sejak dua tahun lalu.

Mereka dikatakan lebih agresif dan akan mengugut peminjam yang gagal melunaskan bayaran atau memberikan wang yang diminta biarpun hutang dibayar mengikut jadual.

Nama-nama seperti Emma, Wendy, Winnie, Sherry dan Amoi kini dikatakan sangat popular apatah lagi dengan kewujudan puluhan aplikasi yang menyediakan pinjaman tanpa lesen di media sosial.
Mendedahkan perkara itu Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhammad Zharif Johor berkata, dapatan terbaru pihaknya mendapati, along wanita berkenaan lebih licik memperdaya mangsa yang kesempitan untuk mendapatkan wang.

Katanya, dengan tawaran pinjaman serendah RM150, along wanita terbabit akan 'berlakon' baik di depan mangsa sebelum menunjukkan perangai mereka yang sebenar.

"Lima nama ini memang popular di Lembah Klang. Mereka tidak mengendahkan sebarang perbincangan untuk membantu pengadu sebaliknya mencabar aktivis kita untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Ada yang menjadi dalang kes simbah cat tanpa rasa takut kepada undang-undang.

Kebanyakannya sudah mengambil alih fungsi telefon bimbit mangsa dan menggunakannya untuk mengugut mereka.

"Daripada seorang wanita lembut yang bercakap di hujung talian, mereka bertukar menjadi bengis dan mendesak supaya bayaran dibuat secepat mungkin," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, fenomena wanita mendominasi 'industri' along ini dikesan sejak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan sejak itu jumlah mereka semakin bertambah.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Zaima, 30-an berkata, dia meminjam RM3,000 menerusi satu aplikasi Februari lalu.

Dia kemudian dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai perunding pinjaman dan pada peringkat awal semuanya berjalan lancar.

"Tidak lama kemudian, saya dipaksa untuk membayar lebih daripada ansuran biasa dan kadar itu semakin meningkat selepas itu.

"Sebelum ini suara wanita itu lembut, tapi sejak bayaran saya bermasalah, saya ditengking, diugut dan dihambur dengan kata-kata kesat.

"Tidak sangka pula saya berdepan dengan seseorang yang menjerit sepanjang perbualan di telefon. Terkejut juga apabila PPIM maklumkan ramai lagi along wanita di negara ini," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

20 ALONG WANITA AGRESIF, 'LANGSI' DI LEMBAH KLANG

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/04/953812/20-along-wanita-agresif-langsi-di-lembah-klang

Comments
* The email will not be published on the website.