SHAH ALAM - Pengguna boleh merakam gambar atau video sekiranya mendapati ada mana-mana peniaga bazar Ramadan menjual dengan harga tidak masuk akal.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bahan rakaman boleh dijadikan bukti untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak pengguna.
Menurutnya, pengguna perlu lebih bijak memanfaatkan telefon pintar masing-masing kerana langkah itu sebahagian tanggungjawab melindungi hak mereka.
“Ini kerana ramai pengguna kurang prihatin dalam membuat laporan mengenai harga makanan tidak munasabah.
“Memang aduan dan laporan boleh dibuat kepada kami. Tetapi masalah timbul apabila ada pengguna tidak ingat kedai mana. Apabila ditanya, mereka sendiri pun tidak pasti,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan trend peningkatan harga makanan di bazar Ramadan hingga mencecah RM3 disebabkan kenaikan kos bahan mentah dan operasi jualan.
Perkara berkenaan merunsingkan pengguna disebabkan perlu mengeluarkan belanja yang banyak sekiranya mahu membeli juadah berbuka puasa ekoran kenaikan harga.
Artikel oleh: Sinar Harian