KUALA LUMPUR - Cadangan untuk melaksanakan caj kesesakan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur perlu dikaji secara mendalam dan menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan juga perlu mendengar dan melibatkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai dalam membuat keputusan tersebut.
"Saya dengar macam-macam termasuk caj kesesakan akan dikenakan untuk mengurangkan masalah kesesakan di bandar, mungkin selepas ini mahu caj kapal terbang pula.
"Tetapi apa pun keputusan yang dibuat, saya harap ia dibuat dengan logiknya dan dikaji secara mendalam terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan seperti isu pengangkutan awam yang masih berada pada tahap rendah.
"Kerajaan juga perlu mendengar pihak NGO, orang ramai dan apa-apa (saranan) yang membawa kepada kebaikan bersama," katanya ketika ditemui di pejabat PPIM di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, pelaksanaan caj kesesakan dijangka dapat mengurangkan sekitar 20 peratus kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.
Menurutnya, untuk memastikan kejayaan inisiatif yang masih di peringkat kajian itu, kadar caj kesesakan hendaklah pada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tertentu.
Beliau berkata, kajian Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 menunjukkan kerugian yang ditanggung negara akibat kesesakan jalan raya ialah RM20 bilion.
Artikel oleh: Sinar Harian
PERLU KAJIAN MENDALAM, MENYELURUH SEBELUM LAKSANA CAJ KESESAKAN - PPIM