Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membidas Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang disifatkan mencampuri urusan berkaitan agama Islam di negara ini.
Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata dia kesal dengan tindakan wakil rakyat DAP itu yang menurutnya mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
"Rayer dan beberapa pemimpin DAP acapkali telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti umat Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Nadzim juga mendakwa Rayer “terlalu obses” mencampuri hal ehwal dan perkara-perkara berkaitan hal ehwal Islam sejak akhir-akhir ini.
"Adakah mungkin kerana mereka menganggap DAP sebuah parti yang punya suara yang ramai di Dewan Rakyat dan boleh mengeluarkan apa saja kenyataan menyanggahi umat Islam, walaupun mereka maklum bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan?" soalnya.
Kenyataan Nadzim dipercayai merujuk kepada tindakan Rayer mempersoalkan pendakwah Zakir Naik yang baru-baru ini menyampaikan ceramah di Perlis, meski terdapat larangan berucap terhadapnya.
Perintah larangan terhadap Zakir untuk menyampaikan ucapan dan berdakwah dikeluarkan pada 2019 berikutan kenyataan kontroversi mengenai masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia.
Bagaimanapun, kemunculannya semula pada satu acara di Perlis pada 2 Feb lalu mendorong Rayer mempersoalkan sama ada larangan itu masih berkuat kuasa.
Kemudian dilaporkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis telah memberikan tauliah kepada Zakir untuk mengajar agama Islam pada Oktober 2023.
Mufti Perlis Asri Zainul Abidin juga telah menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan pendiriannya berhubung Zakir.
Dalam video di saluran YouTube rasminya pada 6 Feb, Asri menambah bahawa Rayer tidak sepatutnya mempersoalkan siapa yang dijemput untuk acaranya, sama seperti bagaimana dia tidak mempersoalkan ahli parlimen DAP itu apa yang dia calit di dahinya dan mengapa dia melakukannya.
Baru-baru ini, Rayer telah menyoal Asri sama ada dia akan mencontohi penjual jagung yang telah meminta maaf kerana kenyataannya tentang "vibuthi" di dahi kaum Hindu.
Asri menafikan menghina penganut Hindu dengan kenyataannya dan mempersoalkan Rayer kerana membangkitkan isu itu dua minggu selepas dia mengatakannya.
Pemimpin Bersatu turut mengecam Rayer sebelum ini kerana mempersoalkan kehadiran Zakir di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Afif Bahardin menuduh Rayer sebagai cuba mencetuskan ketegangan kaum dan agama dengan bertindak sedemikian.
Afif menuntut Rayer menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Asri dan semua umat Islam.
Sementara itu, mengulas lanjut, Nadzim menasihatkan Rayer agar tidak mencampuri perkara yang bukan menjadi urusannya.
Sebaliknya, Nadzim berkata Rayer seharusnya memberi tumpuan kepada tugasan hakikinya menjaga kemaslahatan rakyat di Parlimen Jelutong.
“Kerana apa saja isu yang dikeluarkan beliau mengenai isu nasional akan memalukan parti yang diwakilinya,” katanya.
Menurut Nadzim dia juga ingin menegaskan kepada Rayer bahawa umat Islam di negara ini tidak pernah sama sekali mempersoalkan perkara berkaitan dengan agama lain khususnya agama Hindu.
“Saya ingin tegaskan kepada Rayer, umat Islam tidak pernah pun mempersoalkan apa jua yang berkaitan orang Hindu, walaupun kita sedar dengan jelas nisbah kuil dan warga Hindu di negara ini adalah jauh lebih banyak dari masjid.
“Itu belum lagi kita bangkitkan isu kuil-kuil yang dicacakkan di tanah-tanah milik orang Melayu. Setakat ini kerajaan juga dilihat sebagai amat longgar dalam mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang melanggar perlembagaan negara apabila mengkritik agama Islam sebagai agama rasmi,” katanya.
Nadzim mempersoalkan sikap kerajaan yang menurutnya berlembut dalam menangani isu yang boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.
“Umat Islam negara ini tidak ada sebab untuk bertindak menghina agama lain dan tidak pernah ia dilakukan oleh orang Islam.
“Adakah akibat sikap berlembut kerajaan ini bakal menghala ke arah pergaduhan kaum dan agama?
“Jangan sampai kami sebagai NGO Islam bertindak menimbulkan isu-isu berkaitan Hindu pula,” tambahnya.
Artikel oleh: MalaysiaKini