Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindakan Ahli Parlimen Jelutong kerana tidak henti-henti mencampuri urusan berkaitan umat Islam di negara ini.
"Rayer dan beberapa pemimpin DAP acapkali telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti umat Islam Negara ini," kata Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi.
Beliau tidak faham mengapa Rayer terlalu obses untuk mencampuri hal ehwal dan program berkaitan Islam sejak akhir-akhir ini.
"Adakah mungkin kerana mereka menganggap DAP sebuah parti yang punya suara yang ramai di Dewan Rakyat dan boleh mengeluarkan apa saja kenyataan mencanggahi umat Islam, walaupun mereka maklum bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan?" tambah Toqqi lagi.
Rayer baru-baru ini telah mengkritik Mufti Perlis kerana menjemput pendakwah Islam terkenal Dr Zakir Naik ke suatu program anjuran Mufti itu.
Toqqi mencadangkan agar Rayer tetap dengan tugasan hakikinya menjaga kemaslahatan rakyat Jelutong sahaja kerana apa saja isu yang dikeluarkan beliau mengenai isu nasional akan memalukan parti yang diwakilinya.
"Saya ingin tegaskan kepada Rayer, umat Islam tidak pernah pun mempersoalkan apa jua yang berkaitan orang Hindu, walaupun kita sedar dengan jelas nisbah kuil dan warga Hindu di negara ini adalah jauh lebih banyak dari masjid.
Itu belum lagi kita bangkitkan isu kuil-kuil yang dicacakkan di tanah-tanah milik orang Melayu," ujar Toqqi.
Setakat ini kerajaan dilihat sebagai amat longgar dalam mengambil tindakan pihakpihak yang melanggar perlembagaan negara apabila mengkritik agama Islam sebagai agama rasmi.
Umat Islam negara ini tidak punya sebab untuk bertindak menghina agama lain dan tidak pernah ianya dilakukan oleh orang Islam. Adakah akibat sikap berlembut kerajaan ini bakal menghala ke arah pergaduhan kaum dan agama?
Menurut Toqqi lagi, jangan sampai kami sebagai NGO Islam bertindak menimbulkan isu-isu berkaitan Hindu pula.