18 Feb
18Feb

Kuala Lumpur: Harga juadah dan pakej berbuka puasa yang dijangka meningkat pada Ramadan ini mendorong orang ramai memilih untuk berbuka puasa di rumah.

Penjawat awam, Mohd Ikhwan Usop, 37, berkata dia memilih untuk berbuka puasa di rumah atau masjid kerana menjimatkan disebabkan tinggal bersendirian.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya lebih banyak berbuka puasa di rumah atau masjid kerana bujang. Berbuka di rumah atau masjid lebih menjimatkan bagi saya berbanding makan di luar.

"Ini kerana saya lihat banyak pakej berbuka puasa (Ramadan) akan datang lebih mahal berbanding tahun lalu, mungkin disebabkan peningkatan kos bahan mentah.

"Namun, saya mungkin memilih untuk berbuka puasa di luar bersama rakan di restoran yang harga pakej bufet ditawarkan jauh lebih murah berbanding di hotel," katanya.

Perkara itu disokong pegawai khidmat pelanggan, Amirah Abdul Rahman, 40, yang berpendapat berbuka puasa di rumah lebih jimat dan mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga.

"Dalam situasi ekonomi kurang baik ketika ini, ramai orang lebih memilih untuk berbuka di rumah, surau atau masjid terutamanya jika tujuan utama mereka untuk beramal ibadah dan berbelanja secara berhemah.

"Berbuka di rumah atau masjid memberi peluang untuk menikmati hidangan bersama tiga anak berusia antara sembilan hingga 14 tahun dengan bersederhana dan mengutamakan keberkatan.

"Selain itu, berbuka bersama ahli keluarga di rumah atau komuniti di masjid juga mengeratkan silaturahim tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor berkata, orang ramai perlu memahami dan menyedari tujuan sebenar berpuasa pada Ramadan.

Menurutnya, ramai dalam kalangan masyarakat menjadikan Ramadan sebagai bulan pesta makanan, pesta berbelanja, pesta jualan dan lain-lain pesta.

"Sepatutnya Ramadan menjadi pesta ibadah, pesta mengejar ganjaran pahala berganda serta pesta untuk kita bersedekah dan bukannya membazir.

"Malangnya, kita sudah menyimpang jauh daripada semangat Ramadan yang sebenar, namun kita masih belum terlambat untuk perbetulkan niat.

"Seharusnya kita buat persediaan untuk mengejar ibadah dan kebaikan. Jauhkan diri daripada tawaran dan pesta yang menyanggahi tujuan sebenar Ramadan," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

ANTARA BERBUKA PUASA DI RUMAH ATAU DI LUAR…

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/02/1187845/antara-berbuka-puasa-di-rumah-atau-di-luar

Comments
* The email will not be published on the website.