Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang positif diatas pelantikan Robert F. Kennedy Jr. (RFK Jr.) sebagai Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat. Beliau ialah pejuang kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan hak asasi manusia yang tegas dalam memperjuangkan kebenaran, ketelusan dan autonomi perubatan.
Beliau juga merupakan pengasas Children’s Health Defense (CHD), sebuah organisasi yang bertujuan melindungi kesihatan kanak-kanak dengan memperjuangkan keselamatan vaksin serta ketelusan dasar kesihatan.
PPIM melihat pelantikan ini sebagai langkah penting untuk memulihkan etika dan keadilan dalam sistem kesihatan global. RFK Jr dikenali kerana menentang pengaruh korporat dalam sektor farmaseutikal dan institusi kesihatan antarabangsa, selari dengan misi PPIM yang memperjuangkan hak pengguna dan integriti kesihatan.
RFK Jr mendukung prinsip kebebasan kesihatan, informed consent dan ketelusan dasar kesihatan. Beliau menolak dasar kesihatan yang memaksa serta mengkritik konflik kepentingan dalam organisasi seperti WHO. Usahanya menyeru kepada reformasi sistem kesihatan global demi keadilan dan kebajikan masyarakat mengatasi keuntungan korporat.
PPIM yakin bahawa pelantikan RFK Jr akan membawa perubahan positif, mengukuhkan integriti kesihatan awam dan melindungi hak rakyat. Langkah ini juga dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada Amerika Syarikat, tetapi kepada komuniti global, dengan memacu kerjasama antarabangsa dalam isu kesihatan yang kritikal.
PPIM menyeru semua pihak menyokong usaha RFK Jr untuk mewujudkan sistem kesihatan yang adil, telus dan beretika demi kesejahteraan masyarakat dunia.
PPIM juga menggesa kerajaan Madani untuk mengkaji semula semua dasar kesihatan Malaysia selari dengan polisi kesihatan baharu Amerika Syarikat yang dilihat lebih telus.
Kerajaan perlu bertanggungjawab atas kegagalan mempertimbangkan pendapat kedua semasa tempoh lockdown dan program vaksinasi yang lalu. Menolak permohonan perjumpaan daripada persatuan doktor pakar dalam negara serta mengabaikan memorandum kajian lengkap mengenai pandemik telah menyebabkan ramai rakyat menjadi mangsa akibat lockdown dan program eksperimen vaksin. Menafikan akses kepada ubat-ubatan seperti Ivermectin dan lain-lain adalah satu jenayah. Pihak bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan atas pengabaian ini yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat.