04 Feb
04Feb

Kuala Lumpur: Jadi along, direkrut sindiket ala-ala kongsi gelap dan kini diburu hampir setiap hari.

Penyesalan seorang ahli perniagaan yang memilih untuk menjadi along demi mendapatkan wang mudah, nyata sudah terlambat apabila dia diburu sindiket haram berkenaan sejak lebih dua tahun lalu.

Perasaan tamak yang tidak terbendung selepas selesai membayar pinjaman berjumlah RM800,000 menyebabkan Hong, 40-an, bertukar kerjaya tanpa mengetahui ia adalah detik hitam dalam hidupnya.

Hanya luahan rasa kesal tidak berpenghujung dirasainya ketika setiap hari dia menjadi buruan sindiket berkenaan yang terus 'memerah' wangnya serta memaksanya menjadi anggota kongsi gelap.

"Saya menyesal kerana tamak. Sepatutnya bila habis bayar, saya fokus kepada bisnes dan kilang saja. Tapi saya tamak dan terima tawaran untuk jadi along.

"Saya tawarkan pula pinjaman kepada rakan-rakan peniaga yang lain dan diajar cara untuk mengutip hutang yang berpuluh kali ganda jumlahnya, "katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Hong tidak menyangka dia turut direkrut seorang Datuk Seri menjadi ahli sebuah pertubuhan kongsi gelap yang menaungi kegiatan haram di utara tanahair untuk memeras peminjam yang tidak bayar pinjaman.

"Saya diberikan RM500,000 untuk mula jadi along dengan bayaran sebanyak empat peratus kepada sindiket. Saya boleh caj kepada peniaga sesuka hati.

"Tidak lama kemudian, saya rasa tak sedap hati apabila ada peniaga yang juga rakan-rakan saya perlu bayar dalam jumlah yang tinggi.

"Bila saya maklumkan kepada sindiket, saya pula dipukul berkali-kali manakala kereta pelanggan dipecahkan, rumah mereka dibaling cat merah dan macam-macam lagi," katanya.

Penyesalan seorang ahli perniagaan yang memilih untuk menjadi along demi mendapatkan wang mudah.

Menurutnya, dia kini mahu hidup bebas daripada cengkaman mana-mana sindiket dan fokus kepada perniagaan yang diusahakan sejak lebih enam tahun lalu.

Katanya, terbaru, nama dan gambarnya digunakan sindiket untuk mengancam peminjam lain tanpa diketahuinya menyebabkan dia menerima banyak mesej mengenainya setiap hari.

"Sekarang semua sudah sangkut. Saya pula terpaksa menanggung hutang peminjam lain berjumlah RM1.5 juta.

"Saya sudah tahu bagaimana modus operandi mereka menipu, bertambah rasa kesal kerana modus operandi along ini jelas menipu pengguna.

"Setiap bulan saya rugi ratusan ribu, keluarga pun terancam. Setakat ini mereka masih bebas. Saya minta bantuan polis dan diminta ke Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga. Saya tak mahu lagi terbabit, saya menyesal," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PEMIUTANG JADI ALONG

https://www.hmetro.com.my/utama/2025/02/1182635/pemiutang-jadi-along

Comments
* The email will not be published on the website.