17 Dec
17Dec

Kuala Lumpur: Mengenakan gaun pengantin yang serba cantik memberi seribu makna kepada seorang ahli perniagaan di hari pernikahannya.

Majlis yang disangkakan akan menjadi kenangan terindah seumur hidup itu bertukar menjadi mimpi ngeri kerana dia bukan saja mangsa sindiket pernikahan, malah sijil nikahnya juga didapati palsu.

Itu kisah malang Nor, 40-an, yang kini buntu memikirkan masa depan diri dan anaknya selepas bernikah dengan suaminya di sebuah kawasan perkampungan di utara tanahair.

Berkongsi kisahnya, Nor berkata, dia mengenali suaminya yang bergelar Datuk Seri selepas satu urusan perniagaan pada 2019.

"Saya ingatkan saya akan bernikah seperti orang lain. Walaupun menjadi isteri kedua, saya bayangkan ada kenduri, rupanya tidak.

"Akad nikah dibuat di sebuah rumah kampung tanpa ada sebarang majlis. Saya tanyakan pada suami, tapi dia yakinkan saya itu perkara biasa.

"Saya dan keluarga hanya dijamu dengan goreng pisang dan jurunikah maklumkan dokumen pernikahan akan diserahkan selepas itu," katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Nor berkata, kebahagiaan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan selepas dia hanya diberi nafkah dua kali oleh Datuk Seri yang juga seorang ahli politik terbabit sebelum ditinggalkan pada 2021.

Buntu memikirkan masa depan dan anak, dia nekad membawa kes berkenaan ke mahkamah dan di situ, sekali lagi dia dikejutkan apabila dokumen nikahnya disahkan palsu.

"Luluhnya hati saya apabila ditipu begini. Saya semak dengan jabatan agama di utara juga, disahkan palsu.

"Kes saya sekarang jadi tergantung. Tiada apa-apa tindakan ke atas bekas suami. Sepatutnya dia yang bertanggungjawab, tetapi saya pula terpaksa menanggung beban ini," katanya yang turut membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Menurutnya, selepas berjumpa dengan pegawai di pejabat agama, dia diminta untuk mendapatkan pengesahan nikah di mahkamah, malangnya jurunikah dan saksi tidak dapat dikesan.

"Saya dimaklumkan kadi dan saksi di dalam sijil nikah itu pun tidak ada rekod di pejabat agama. Sebab itu saya minta bantuan PPIM untuk ketengahkan isu ini," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro
HARI BAHAGIA TELAN PISANG GORENG AJE...
https://www.hmetro.com.my/utama/2024/12/1166022/hari-bahagia-telan-pisang-goreng-aje

Comments
* The email will not be published on the website.