SHAH ALAM - Kerajaan digesa melakukan pemantauan secara kerap dan berterusan, susulan isu kedai-kedai cekik darah yang semakin menjadi-jadi di negara ini.
Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, langkah drastik perlu dilaksanakan termasuk membuat pemantauan semula terhadap kedai-kedai yang pernah terbabit dengan isu berkenaan.
“Kebanyakan kedai ini terutama kedai makan memberi alasan harga barang mentah naik dan mereka terpaksa naikkan harga.
“Mereka guna alasan itu, tetapi harga berkenaan tidak setimpal dengan bayaran, jadi saya mohon pihak penguat kuasa memantau termasuk kedai-kedai yang tular sebelum ini, pergi lihat semula adakah ia mengikut peraturan atau sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, keadilan bukan setakat perlu dibuat tetapi juga perlu dilihat.
Susulan kejadian tular di media sosial, sepasukan pegawai dan anggota KPDN Perak membuat pemantauan sempena Ops Samar di sekitar Teluk Nipah, di sini selama dua hari sejak Sabtu. Foto KPDN Perak
“Kerajaan kena wujudkan semula faktor ketakutan, kalau tidak ia tidak menjadi. Bukan mudah untuk mengambil tindakan di seluruh negara kerana penguat kuasa tidak ramai,” kata beliau.
Menurutnya, kerajaan seharusnya lebih peka dan mengambil berat dalam menangani isu itu kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri.
“Antara ketakutan rakyat apabila sampai masanya, kerajaan tidak dapat menggerunkan mereka yang menipu,” katanya.
Dalam pada itu Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusof, berkata, pemantauan terhadap kedai-kedai ini perlu dilakukan secara kerap dan konsisten.
“Penguat kuasa jangan hanya bila ada isu tular baru hendak turun, sepatutnya sentiasa melakukan pemantauan, ada pegawai yang semak harga dan sebagainya, jadi perlu lebih tegas.
“Kalau hanya tunggu aduan pengguna baru hendak menjalankan tugas, itu sudah terlambat,” kata beliau.
Tambahnya, kedai yang cekik darah ini juga turut menjejaskan beberapa industri terutama industri pelancongan.
Katanya, sebagai contoh kejadian yang berlaku di Langkawi baru-baru ini, telah memberi impak yang buruk terhadap pulau pelancongan terkenal berkenaan.
“Sektor pelancongan memang terjejas, jadi kami amat kecewa dengan apa yang berlaku sebab, sekarang pun pelancongan Langkawi terjejas, sepatutnya cuti sekolah, orang ramai melancong di Langkawi, tetapi mereka keluar pergi Hatyai, jadi bila berlaku kejadian ini menyebabkan orang takut nak pergi Langkawi kerana makanan mahal.
“Sudahlah kes ikan siakap RM1,000 masih menghantui, timbul pula harga ayam kunyit RM20,” kata Mohamad Yusrizal.
Sebelum ini, beberapa kes melibatkan insiden peniaga cekik darah tular di media sosial, terbaharu seorang pelanggan sebuah kedai makan di Pantai Chenang, Pulau Langkawi melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk hidangan sepinggan ayam goreng kunyit.
Artikel oleh: Sinar Harian
PANTAU BERTERUSAN KEDAI CEKIK DARAH
https://www.sinarharian.com.my/article/644754/berita/nasional/pantau-berterusan-kedai-cekik-darah